Pastinya ramai tidak lupa akan kes seorang bapa yang gigih membawa anaknya memakai alat bantuan pernafasan ke hospital dengan menaiki motosikal sahaja.
Apatah lagi selepas status perkahwinan terbongkar namun dia sudah selamat menikahi isterinya kini.
Memetik mStar, Mohd Azlan Ishak masih meneruskan hidupnya secara sederhana dan menumpukan perhatian untuk memastikan anaknya kembali sihat.
“Saya bersyukur kehidupan selepas berkahwin ini lebih baik daripada sebelum ini. Ibarat ‘rama-rama keluar daripada kepompong’, hidup kami sekeluarga jadi lebih bebas dan terbuka.
“Keadaan Aariz semakin pulih. Dia tak lagi bergantung sepenuhnya kepada oksigen. Pagi dan malam, dia boleh bermain selama tiga jam tanpa tangki oksigen.
“Cuma, guna tangki sepenuhnya waktu tidur saja. Berat anak saya dah mencecah 17 kilogram (kg) pada usia setahun lima bulan.
“Rasa sebak tengok dia mula berjalan dan sudah mula pandai panggil saya dengan panggilan ‘abah’,” katanya seperti dipetik mStar.
Meskipun menerima bantuan kewangan hampir RM100,000 dan pelbagai bantuan lain, Azlan tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk bermalasan malah gigih mencari pendapatan sendiri.
Azlan sehingga kini masih bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan dan menghantar stok bahan mentah di sekitar Sungai Petani menggunakan motosikalnya sendiri.
“Kereta masih dalam keadaan baik dan kami gunakan untuk urusan keluarga. Syukur sangat dengan bantuan yang diberikan.
“Bantuan kewangan itu pula memang saya gunakan sepenuhnya untuk keperluan anak, termasuk masa depannya nanti. Tapi untuk keperluan harian, saya tetap berusaha dengan kudrat sendiri.
“Sebelum dapat bantuan pun tak ada masalah saya tanggung dia cuma Allah bagi rezeki lebih jaga anak sakit.
“Jadi biaya untuk anak saya nak belajar bila sudah besar nanti pun sudah tak perlu risau lagi, boleh guna duit bantuan ni,” jelasnya.
Baca juga: Pernah viral jawab peperiksaan atas pokok, keadaan terkini Veveonah buat ramai bangga