Seorang bapa dikenali sebagai Pak Cik Basri yang pernah tular sebelum ini kerana menghantar anaknya ke sekolah menggunakan basikal diubah suai dilaporkan sudah meninggal dunia.
Khabar pemergian Pak Cik Basri yang mengejutkan ramai pihak itu disampaikan menerusi akaun Facebook Lahad Datu Info yang mana pengendalinya telah berkunjung ke rumah Allahyarham di Kampung Bakau, Lahad Datu.
Difahamkan, kunjungan itu dibuat untuk mendapatkan kesahihan khabar pemergian Allahyarham Pak Cik Basri yang dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 21 Februari lalu di sebelah petang.
“Arwah pak cik dikebumikan di Batu 9. Manakala jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Bukau, Lahad Datu. Kita sedekahkan Al-Fatihah,” kata pengendali akaun menerusi hantaran tular tersebut.
Terdahulu, tular satu rakaman yang cukup menyayat hati memaparkan seorang warga emas mengayuh sebuah basikal dibonceng seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya untuk dihantar ke sekolah.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai adalah pengubahsuaian dilakukan kepada kenderaan itu di bahagian penumpang dengan meletakkan bumbung dan tong sampah agar tidak terkena hujan serta panas.
Rakaman tersebut turut menyentuh hati pempengaruh dikenali sebagai Adrian Edy yang tampil menghulurkan bantuan dan menghadiahkan sebuah motosikal untuk memudahkan Pak Cik Basri menghantar anaknya.

Adrian turut menyampaikan ucapan takziah kepada Pak Cik Basri menerusi ruangan komen hantaran mengenai pemergian arwah dan berharap supaya keluarganya terus kuat serta tabah menerima kehilangannya.
Ramai juga pengguna Facebook membanjiri ruangan komen hantaran tersebut dengan kiriman doa supaya roh Allahyarham dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Baca juga: Ini rupanya punca tulisan doktor macam ‘cakar ayam’