Seorang perompak di wilayah Aceh tidak jadi merompak sebuah rumah yang dipecah masuk dan berakhir dengan tangisan ketika sedang merompak.
Ini selepas pemilik rumah dilapor mengurungnya di dalam bilik dan membaling seekor ular ke dalam bilik kecil itu.
Lapor Tribun News, video yang memaparkan lelaki yang berniat mencuri itu dikurung dengan ular menjadi tular selepas dimuat naik oleh satu akaun TikTok.
“Pencuri takut ular,” tulis pemuat naik.

Satu rakaman yang disiarkan menunjukkan pemilik rumah mengurung pencuri tersebut dalam satu bilik kecil sebelum membaling seekor ular sehingga pencuri itu menangis ketakutan.
Dalam video itu, pemilik rumah yang berbaju merah jambu dilihat memanjat kerusi sambil memegang seekor ular.
Lelaki itu meletakkan ular itu dari atas pintu ke dalam bilik tempat pencuri itu dikurung.
Manakala, pencuri yang ketakutan itu terus menjerit sehingga diserang histeria sambil cuba memecahkan pintu.
“Buka! Buka!” jeritnya.
Situasi tidak dijangka itu membuatkan pemilik rumah ketawa selepas mendengar pencuri itu menjerit ketakutan.
Selepas menakutkan pencuri, lelaki berbaju merah jambu itu turun dan mula memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya.
Melihat keadaan panik pencuri itu, lelaki itu semakin teruja untuk mengusiknya.Malah penduduk dan beberapa remaja yang menyaksikan kejadian itu turut tertawa.
Jeritan itu membuatkan penduduk yang berada di sekeliling mengerumuni rumah tersebut dan perkara itu membuatkan pencuri pasrah apabila dia dimalukan sedemikian rupa.
Sehingga kini, tidak diketahui sama ada ia adalah ular mainan atau ular sebenar
.Video tersebut kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial di Indonesia.
Ramai yang berpendapat bahawa tindakan seperti ini adalah lebih baik untuk memberi pengajaran kepada mereka yang berniat jahat.