AMANAH Sarawak di kerusi Dun Kabong dilihat menjadi parti pilihan penduduk tempatan ekoran perpecahan dalaman Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Hud Andri berkata, AMANAH Sarawak dilihat mendapat sambutan positif dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) berlangsung.
“Imej dan mesej yang dibawa di sini,nampaknya memberikan impak positif dalam kalangan pengundi.
“Ditambah lagi dengan perpecahan dalaman GPS di Dun Kabong. Ini membuatkan rakyat Kabong memilih parti yang lebih terbuka dan ada hala tuju iaitu AMANAH Sarawak.
“Pilihan raya kali ini memperlihatkan GPS tidak begitu selesa. Pertembungan kali ini berlaku secara terbuka dan peluang masih sama rata,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Hud Andri bersaing dalam pertandingan empat penjuru di Kabong dengan pencabarnya ialah Mohd Chee Kadir yang merupakan penyandang kerusi dari GPS; Mohd Asri Kasim (Parti Bumi Kenyalang, PBK) dan Wan Mohamad Madehi Wan Ali mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Mengulas lanjut, Hud Andri yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak berkata, sepanjang tempoh berkempen dapat dilihat banyak aduan kekecewaan penduduk setempat yang diterima.
“Kita tawarkan satu parti sebagai platform baru dengan mesej Rahmatan Lil Aalamin,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berjanji akan memperjuangkan kepentingan agro pertanian yang menjadi sumber utama ekonomi masyarakat tempatan.
“Rata-rata penduduk di sini mengusahakan sawit jadi isu pembangunan infra bagi meningkatkan pengeluaran hasil akan saya perjuangkan.
“Antaranya, jalan keluar masuk ladang yang lebih baik. Sistem perparitan untuk para pesawah serta penambahbaikkan jeti untuk para nelayan,” kata Hud Andri lagi.
Sebelum ini, wakil Strata Analytica di Sarawak dalam ramalan mereka mendapati GPS hanya akan tercalar sedikit berbanding dengan keputusan PRN-11.