“Perpisahan disangka kemahuan rupanya hukuman buat aku, bekas isteri berubah sekelip mata lepas kami cerai”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki langsung tidak menyangka bahawa bekas isteri yang disayanginya sanggup menolak lamaran untuk kembali sebagai sebuah keluarga bahagia.

Padahal, wanita yang digelarnya sebagai Sab itu begitu bersungguh tatkala mengajaknya untuk kembali menjadi suami isteri ketika masih berada di dalam tempoh eddah.

Menyangka Sab sudah ada pengganti, bapa kepada satu cahaya mata itu merasakan dirinya amat terpukul apabila mengetahui punca sebenar bekas isterinya lebih rela menjanda.

Baru menyedari kesilapannya sebagai suami, berikut kami kongsikan pengalaman seorang duda yang mengenal erti penyesalan selepas hidup berasingan bersama insan bergelar isteri.

“Selepas bercerai, Sab berpindah ke rumah baru yang jaraknya 50 km dari tempat aku. Memang nak bagi dia dan anak duduk dekat apartment yang kami duduk masa berkahwin tapi dia tak mahu. Katanya lebih senang jika dia yang pindah, nak cari rumah sewa dekat dengan pejabat. Selamatlah berpindah dua beranak itu.

“Syukur dekat sahaja, jadi aku boleh melawat anak bila-bila masa sahaja. Sab sewa rumah teres tiga bilik landed. Ada ruang untuk anak aku kayuh basikal, dan tempat Sab bercucuk tanam. Masa bercerai, anak umur dua tahun, memang masa nak melasaklah. Lepas berpisah, aku nampak sisi isteri yang tak pernah aku perasan selama ini.

“Sab suka beramah mesra dengan jiran-jiran dan gemar menanam. Setiap kali aku datang, Sab akan masak sedap-sedap. Selepas itu, dia akan cerita yang masak lemak ini guna daun kunyit dipetik di laman. Cili pula extra pedas sebab tanam sendiri. Dia siap buat ruang ala montessori untuk anak sepahkan dan main sampai puas.

“Aku gembira tengok mereka bahagia. Perkembangan anak aku pun laju dari kawan-kawan dia. Umur tiga tahun dah pandai membaca, pandai cakap thank yousorry, ambil air dan snek sendiri. Sebab isteri aku sediakan tempat macam stesen kecil untuk latih dia. Umur tiga tahun dah tak pakai lampin, tidur bilik sendiri.

“Semakin lama aku rasa bahagia dan nak balik semula dengan isteri. Biar kami hidup bersama semula. Aku rasa, sudah pasti dia nak balik pada aku. Aku flashback sekejap. Dulu aku lafazkan talak sebab tak tahan dengan keadaan rumah tak terurus. Isteri sibuk kerja dan anak aku yang selalu melalak dan baling makanan merata-rata.

“Bila aku suruh isteri kawal perangai anak, alasan dia biarkanlah sebab itu cara budak belajar. Dia janji akan kemas. Tetapi sekadar cakap sahaja sebab isteri akan tertidur sekali masa anak menyusu badan. Aku juga yang kena mengemas. Sampai satu hari, aku rasa memang sudah tak boleh tahan dan lafazkan cerai. 

“Sepanjang tempoh eddah, bekas isteri bersungguh ajak aku rujuk. Kalau tengok cara baik dia layan masa jenguk anak, memang kamu semua mesti ada perasaan yang sama. Iaitu keyakinan bahawa Sab akan terima lamaran untuk berbaik semula. Tetapi dia tolak lamaran aku serta merta. Siap kena gelak.

“Ayat bekas isteri aku ingat lagi, ‘kau gilaa? Haha ini lawak antarabangsa!’. Begitu jawapan Sab dekat aku. Memang terkedu. Masa itu aku memang malu gila. Terus ajak adik balik (setiap kali tengok anak, memang aku ajak adik perempuan teman sekali). Sab panggil pun aku tak peduli sebab sudah malu sangat.

“Adik contact bekas isteri tanya apa yang jadi. Adik juga mengambil langkah membasuh aku. Dia soal kenapa nak balik dengan Sab. Aku cakap yang aku akan lebih bahagia kalau Sab dan anak kami hidup bersama. Dia tanya aku lagi, ‘habis Sab bahagia ke bila dengan kau, bang?’. Bagi aku soalan itu mengarut. Mestilah dia bahagia.

“Kalau tak, kenapa bekas isteri merayu nak rujuk dahulu. Adik aku tanya lepas sudah habis eddah, ‘ada tak dia ajak kau kahwin balik bang? Adakah kau nampak dia tak bahagia?’. Aku macam blur. Masa aku bantu Sab pindah rumah sewa, mata dia memang lebam sedih. Jadi aku tahu memang bekas isteri nak balik pada aku.

“Adik cakap, ‘kalaulah kau ini bukan abang aku. Memang sudah lama aku tampar kau. Lelaki selfish. Tahu kenapa aku dengan mak tak pernah halang kau bercerai? Sebab kami nampak betapa penatnya Sab masa jadi bini kau. Anak, kau biarkan dia jaga seorang. Rumah pun kau beli dekat dengan tempat kerja kau.

“Kau biar dia memandu jauh-jauh dengan tol mahal. Bila balik lewat sebab sangkut jammed, kau bengang dia tak sempat masak. Balik dah penat. Selama dia jadi bini kau, berapa kali Sab makan benda yang dia suka. Semua ikut kepala kau bang. Mainan anak pun kau tak bagi beli sebab takut sepah. Anak nak berkolam pun tak boleh.

“Banyak sangat undang-undang. Masa nak rujuk dengan dia pun kau fikir kebahagiaan diri sendiri. Kebahagiaan dia bang?. Kalau nak berubah, tiada kau ajak bekas isteri kahwin semula macam ajak orang pergi pasar. Kau ajak macam itu sebab ingat Sab gilakan kau kan bang? Kau ingat bila-bila sahaja boleh dapat dia balik kan?

“Kata adikku lagi, ‘sebab kau tak nampak yang bekas isteri itu tengah bahagia sebab tak payah fikir pasal suami yang banyak cekadak macam kau’. Dengar adik cakap seperti itu, memang aku mengamuklah. Hampir sebulan juga tak bertegur dengan adik aku. Sebulan juga tak jumpa bekas isteri dengan anak. Ada juga Sab mesej tanya khabar.

“Tetapi aku tak mampu balas. Betul ke aku macam mana yang adik cakap? Aku ambil masa untuk self-reflection. Aku terfikir balik. Hari jadi dia aku tak pernah pun sambut. Sekadar ucapan sahaja. Hari ulang tahun juga memang sekadar nombor bagi aku. Teringat juga yang aku pernah mengadu dekat adik, penat memandu setiap minggu.

“Sebabnya kena pergi rumah bekas isteri tengok anak. Padahal masa dia dengan aku, hari-hari Sab drive dalam jarak yang sama untuk pergi dan balik kerja. Kalau hari kerja memang sesak teruk. Malah, ketika lafaz talak pun aku triggered sebab Sab sebut yang dia penat. Bagi aku masa itu, aku lagi penat.

“Aku terlupa yang emosi Sab tak pernah terjaga. Semua keputusan aku buat, tak pernah fikirkan kebahagiaan dia. Masa Sab ajak rujuk pun aku tolak sebab tak nak bagi apa yang dia nak. Masa itu terfikir kalau rujuk, aku kalah dan Sab menang. Sekarang bila bekas isteri sudah berdiri di kaki sendiri, aku menyibuk pula.

“Sebab kononnya, kami akan lebih bahagia sebagai satu keluarga. Padahal sebab aku tak sanggup terima yang bekas isteri dan anak lebih bahagia tanpaku 24 jam dalam rumah yang sama dengan mereka. Aku kemurungan dan hampir sebulan tak keluar rumah. Aku ambil cuti tanpa gaji, berkurung dan asingkan diri.

“Abah dan adik ada datang ke rumah untuk menjenguk. Mengucap panjang bila nampak rumah aku. Pinggan dan polisterin bertimbun, air milo basi dalam cawan juga tidak berbasuh, sampah sudah lama tidak dibuang. Mereka datang tolong kemas, masak dan cuba bagi semangat. Aku nampaklah sedikit sinar kehidupan.

“Suatu malam, aku dengar abah dan adik berbual. Abah tanya betul ke Sab dah taknak rujuk dengan aku. Adik tak perasan aku dekat belakang. Dia jawab, ‘kak Sab pernah cakap dengan orang, dia happy dengan hidup sekarang. Dapat berkebun, bermasyarakat. Dia tak rasa abang suka hidup macam itu. Abang nak duduk apartment.

“Sebabnya abang nak kediaman yang tak perlu jalan jauh nak buang sampah, nak yang kemas, fully furnished. Bila Sab nak tanam pokok kena marah sebab takut semutlah, nyamuklah. Anak pun tak bebas bermain. Jatuh terduduk aku dan memang meraung sekuat-kuatnya. Terkejut beruk dua orang tu, terus bawak aku pegi bilik.

“Aku menangis sampai tertidur. Tak sangka aku seorang suami yang tak guna. Dalam pemikiran aku, akulah suami yang paling sempurna. Aku ada rupa, Sab pula biasa-biasa sahaja dari segi rupa. Masa berkurung aku sempat stalk Facebook (FB) Sab. Tak pernah aku ambil kisah pasal FB Sab sebelum ni. Dia tag gambar pun aku selalu abaikan.

“Hari itu, aku korek sekorek-koreknya, jumpa satu gambar zaman dia baru habis matrikulasi. Ada kawan bekas isteri tag namanya, tetapi dekat budak lelaki. Dari komen aku dapati itu bekas kekasihya. Tinggi, kulit gelap sedikit. Ada kawan dia komen, dapat jugak Sab kekasih tall, dark and handsome. Tetapi aku ini putih.

“Muka sudahlah baby face, dan tidaklah setinggi mana. Maksudnya aku bukan taste Sab rupanya. Selama ini aku ingat Sab tergilakan aku sebab aku kacak. Patutlah masa kami masuk meminang dia dulu, kakak Sab terkejut siap cakap, ‘putihnya pilihan hati Sab.  Aku ingatkan pujian. Rupanya sebab taste adik dia bukan lelaki macam aku.

“Bila terdengar adik pula cakap macam itu, aku sudah tak tahu apa lagi yang ada pada diri untuk ditawarkan dekat Sab. Aku berikan dia pengalaman berumahtangga yang teruk. Sab pun sudah tiada perasaan sampai lamaran aku pun dia kata lawak antarabangsa. Penceraian yang disangka aku mahukan ini rupanya hukuman buat aku.

“Aku tak tahu nak tulis apa lagi Sab. Pedih sangat hati ini apabila mengetahui bahawa perpisahan kita memberikan kau bahagia. Sekian coretan lelaki pentingkan diri.” Kongsi lelaki berkenaan menerusi satu hantaran di platform luahan hati di atas talian.

Baca juga: Dihalau keluar rumah lepas bercerai, wanita tuntut pampasan lepas 26 tahun jadi suri rumah