Pakatan Harapan perlu menyelesaikan empat kegagalan komunikasi mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya gabungan itu tidak mahu persepsi yang dimainkan pihak lawan selama ini menjejaskan nama PH.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, perkara yang perlu dijelaskan antaranya membabitkan imej kerajaan PH yang sebelum ini dimomokkan dengan bayangan DAP.
Beliau memetik buku terbaru terbitan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis bahawa tentera siber Umno telah menyebarkan ‘idea’ bahawa PH sebagai kerajaan Malaysia ketika itu telah berada di bawah kawalan DAP di mana parti itu dianggap sebagai ‘parti Cina’ yang mewakili orang Cina Malaysia dengan kepentingan etnosentrik yang sempit.
“Tidak kira bagaimana kita menjelaskannya, mereka akan mengulangi bahawa Malaysia memerlukan ‘kerajaan Melayu-Islam’, dan DAP adalah anti-Islam dan berniat untuk menghancurkan orang Melayu, dan sebagainya,” tulis Mahathir dalam bukunya.
“Najib dan Umno mula memomokkan yang kononnya DAP akan memusnahkan orang Melayu. Perkara ini pula disambut oleh orang Melayu. Mengapa? Kerana selama beberapa generasi lamanya, orang dalam Umno dan kerajaan telah mendakwa yang DAP adalah musuh. Ahli DAP adakah komunis, cauvinis pro-China, dan lain-lain lagi,” tambah Mahathir.
Dalam halaman 145, Mahathir menulis:
“Tuduhannya bukan sahaja kononnya DAP mengawal Pakatan Harapan, tetapi kononnya saya juga di bawah kawalan Lim Guan Eng, yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet saya. Tuduhan ini tidak masuk akal dan merupakan satu penghinaan terhadap saya dan orang Melayu”.
Justeru Kit Siang berkata, inilah kegagalan komunikasi pertama kerajaan Pakatan Harapan, yang Mahathir sendiri telah akui gagal ditepis oleh kerajaan PH.
PH perlu menangani kegagalan komunikasi yang kedua iaitu menepis tuduhan bahawa kerajaan PH selama 22 bulan ini telah gagal untuk memenuhi manifesto pilihan rayanya.
Menurut Kit Siang, mustahil untuk mana-mana kerajaan memenuhi manifesto yang sepatutnya mengambil masa lima tahun, tetapi perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam masa 22 bulan.
Baginya, jika dalam setengah penggal yang pertama pelaksanaan janji-janji itu perlahan, untuk apa-apa sebab sekalipun, perkara tersebut boleh ditambah baik dalam setengah penggal kedua dengan mempercepatkan pelaksanaannya.
Kegagalan komunikasi PH yang ketiga adalah kegagalan untuk menyakinkan rakyat mengenai kepentingan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 untuk menamatkan hegemoni politik Umno.
“Kita mengambil masa selama setengah abad untuk memecahkan hegemoni politik Umno.
“Kita mungkin memerlukan setengah abad lagi untuk mencapai Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia kerana perkara ini tidak mungkin dicapai dalam masa setahun dua, atau sedekad dua,” ujarnya.
Selain itu, PH telah gagal untuk menepis dengan berkesan pertuduhan yang kononnya PH telah diserap ke dalam kerajaan Ismail Sabri dan bukan lagi sebuah barisan pembangkang.
Justeru tegasnya, semua pihak perlu menyampaikan dengan lebih efektif lagi fakta-fakta berkaitan MOU pembangkang dan kerajaan.
“(Dengan MOU), PH berjaya menghentikan angka-angka Ahli Parlimen PH di Parlimen daripada digunakan dalam perebutan kuasa parti-parti kerajaan untuk menjadi perdana menteri kerana tidak kiralah apa pun kombinasinya, PN atau BN tidak akan sama sekali menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” jelasnya lagi.