Persidangan ASEAN yang berakhir semalam disifatkan sebagai paling substantif bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur beliau dengan kejayaan itu.
“Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 turut dimasyhurkan, melambangkan keupayaan Malaysia merencana pelan strategik 20 tahun ke hadapan bagi rantau ini pasca-2025,” kata Anwar dalam satu kenyataannya hari ini.
Katanya, persidangan kali ini juga mencatat kemajuan besar dalam ekonomi digital, pelaburan hijau, keterangkuman sosial serta kerjasama serantau yang lebih tersusun bersama GCC dan China.
“ASEAN kini tampil lebih bersatu, berpaksikan rakyat dan bersedia melangkah ke hadapan dengan tekad yang segar,” kata beliau.
Hampir kesemua pemimpin utama negara-negara ASEAN hadir ke sidang kali ini.
Turut diadakan juga adalah sidang ASEAN-GCC atau Majlis Kerjasama Teluk dan juga China.
Antara yang hadir adalah Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi dan Perdana Menteri, China Li Qiang.