Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu antara pemimpin yang akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan hari ini.
Turut berbuat demikian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebelum gimik pelancaran perjanjian Pakatan Harapan dibuat.
Perjanjian itu turut dibentang ketiga-tiga parti gabungan yang bakal disampaikan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir.
Perjanjian itu yang bakal dimeterai hari ini memfokuskan tujuh perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik mampan antara ketiga-tiga parti.
Persidangan itu dijadual bermula jam 8 pagi di Dewan Plenari, SACC Mall di Shah Alam dekat sini dan dijangka berakhir jam 12 tengah hari.
Mengikut kenyataan media ditandatangani bersama pada 5 Januari lalu oleh tiga pemimpin utama parti gabungan dalam Pakatan Harapan adalah perjanjian itu mengikat ketiga-tiga parti dalam kesatuan politik yang mampan.
Justeru,kenyataan itu menyebut, perjanjian berkenaan memberi fokus kepada tujuh perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik mampan antara ketiga-tiga parti iaitu:
1.Prinsip dan kaedah membuat keputusan.
2. Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti.
3. Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti.
4. Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.
5. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi.
6. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang.
7. Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari.
Kenyataan itu juga menyebut, rundingan dan perbincangan untuk memuktamad Perjanjian Pakatan Harapan bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan.
Ketiga-tiga pimpinan utama itu yakin pemeteraian perjanjian itu suatu kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik PKR, DAP dan Amanah yang mengenepikan kepentingan politik masing-masing.