Persidangan pertama Pakatan Harapan pada 9 Januari

Oleh MALAYSIADATELINE

Dalam sidang media diadakan dimaklumkan Pakatan Harapan turut bincangkan  25 polisi bersama ketiga-tiga parti  sebagaiman dalam Pakatan Rakyat dahulu.Pakatan Harapan akan mengadakan persidangan pertamanya pada 9 Januari 2016 yang dinamakan Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan.

Perkara tersebut diumumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.

“Persidangan ini akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, persidangan tersebut akan membincangkan polisi umum melibatkan ketiga-tiga parti.

Amanah, PKR dan DAP masing-masing akan menghantar 50 orang pimpinan ke persidangan tersebut.

“Kita akan bincangkan juga 25 polisi bersama ketiga-tiga parti seperti Pakatan Rakyat sebelum ini,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara berkaitan hudud akan dibincangkan jika dibangkitkan.

“Kita akan fokuskan agenda bersama dan jika hudud dibincangkan kita akan bincangkan,” katanya lagi.

Pakatan Harapan ditubuhkan pada September lalu menggantikan Pakatan Rakyat yang tidak lagi berfungsi selepas PAS tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP.