“Saya faham nak buat TikTok, tetapi kena ikut angka rasmi” – Rafizi Ramli tegur Radzi Jidin persoal data dari penjawat awam

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegur tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan kesahihan angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) disediakan oleh pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.

Hal ini berikutan data-data negara yang disediakan oleh para pegawai dan kakitangan kerajaan ini juga turut digunakan oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk dibentangkan ketika berkuasa di Putrajaya sebelum ini.

Menurut Rafizi lagi, pemimpin pembangkang tidak seharusnya mempersoalkan data yang dikumpulkan oleh pegawai-pegawai kerajaan sekiranya tidak mahu bersandarkan kepada angka rasmi.

“Komen Putrajaya (ahli Parlimen) itu datang daripada seorang mantan Timbalan Menteri Ekonomi yang sebelum ini berada di tempat saya untuk membentangkan data-data sama dan dibuat kumpulan sama dan dilaporkan kepada piawaian sama.

“Kalau nak mempersoalkan seolah-olah data negara yang dibuat oleh penjawat awam sama yang bekerja dengan Putrajaya sebelum ini, itu saya tegur.

“Kalau tak boleh bersandarkan kepada angka rasmi, jangan sampai mempersoalkan pegawai-pegawai kerajaan yang menyediakan angka-angka ini,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini bangkit mencelah dan mempersoalkan data-data rasmi yang dikeluarkan untuk mengukur kadar inflasi di negara ini.

Hal ini kerana menurut Mohd Radzi yang juga merupakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, data-data yang dibentangkan itu tidak mencerminkan realiti sebenar dihadapi oleh rakyat.

“Daripada kiraan, data-data inflasi dikira dengan piawaian antarabangsa yang telah digunakan. Cuma yang rakyat tanya di bawah sana ialah, data ini tidak menggambarkan apa yang berlaku di bawah sana.

“Dari sudut penjelasan teorinya kita faham, tetapi rakyat di bawah sana merasai tekanan. Apatah lagi tahun ini apabila kos tenaga (tarif elektrik) akan dinaikkan dan perluasan skop SST akan terus memberi tekanan,” soal Mohd Radzi.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu mengakui secara peribadi tidak berkecil hati sekiranya pembangkang mahu membuat kandungan di platform media sosial TikTok dengan memainkan isu kos sara hidup.

Walau bagaimanapun, kandungan yang dibuat perlulah merujuk kepada data-data rasmi dikumpulkan oleh para penjawat awam ini dan bukan sekadar bermain sentimen untuk meraih sokongan rakyat.

“Sebab itu saya sebut, kita boleh mengatakan bahawa contohnya rakyat tertekan dengan kos sara hidup. Saya tak berkecil hati pun dengan perkara itu, memang itulah yang kita tumpukan.

“Saya faham untuk membuat kandungan di TikTok, kita kena cakap rakyat sengsara, hidup seksa dan sebagainya. Boleh, tetapi kena juga bersandarkan kepada angka-angka rasmi ini,” jelasnya.

Rafizi juga menegaskan bahawa data-data DOSM ini tidak diumumkan oleh pihak kerajaan dengan sewenangnya sebaliknya melalui proses-proses tertentu mengikut piawaian untuk membuat unjuran ekonomi negara.

Angka-angka rasmi yang dikeluarkan ini juga sama ada untuk mengukur kadar inflasi negara ataupun perkara lain telah dirangka untuk mewakili keseluruhan negara, bukan bagi golongan tertentu sahaja.

“Daripada segi wajaran ini bukannya kerajaan pandai-pandai buat, perlu melalui proses. Sebab itu kita ada buat tinjauan pendapatan dan perbelanjaan 90,000 isi rumah selama satu tahun mewakili segala lapisan masyarakat.

“Berdasarkan tinjauan inilah maka wajaran itu ditetapkan dan disemak. Bukan hanya kerana kita berjumpa beberapa orang yang saya tidak nafikan berada di dalam kelas tertentu, mereka berasa tertekan.

“Tetapi angka yang diberikan baik kadar inflasi atau angka rasmi yang lain-lain adalah data yang mewakili keseluruhan negara,” ujar Rafizi di ketika di dalam sesi penggulungan yang mana rakamannya turut tular di media sosial.

@jason.yew

“Radzi Jidin dulu pun Timbalan Menteri Ekonomi, jangan pertikai angka rasmi penjawat awam.” – @Rafizi #parlimen #dewanrakyat #MalaysiaMADANI #menteriekonomi #rafiziramli #KerajaanMADANI #keadilanuntuksemua

♬ original sound – JASON Update – JASON Update

Baca juga: Rakyat rasai manfaat dari pengembangan ekonomi, gaji naik dan peluang kerja makin banyak