Pertelingkahan berlarutan rugikan rakyat, jaga akhlak Islam

Oleh BORHAN AHMAD

Susulan Perjanjian Pakatan Harapan yang dimeterai kelmarin antara PKR, Amanah dan DAP, kesatuan politik itu akan memastikan tidak akan lagi terjerat dalam pertelingkahan berlarutan yang merugikan rakyat sekaligus membiarkan kerajaan BN melakukan penyelewengan dan pembaziran.

“Kami tidak akan terperangkap dengan sentimen sempit kepartian yang tidak membawa manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” tegas Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas reaksi berlebihan penyokong PAS termasuk di akaun Facebook beliau, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tindakan mereka menyerang muafakat yang terjalin antara ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan Harapan hanya akan memanjangkan hayat kuasa Perdana Menteri.

Rafizi dalam komentarnya di Facebook semalam menulis, “Yang tandatangan perjanjian ini KEADILAN, DAP dan AMANAH. Yang kami nak lawan adalah Najib dan konconya dalam Umno yang menyusahkan rakyat.”

Menurutnya, keputusan parti lain yang dipercayai dituju kepada PAS untuk tidak bersama-sama dalam permuafakatan parti pembangkang adalah dihormati tetapi pada masa sama tidak perlu memperlekeh usaha PKR, Amanah dan DAP yang sedang menjalankan tanggungjawab bagi membela rakyat.

“Yang parti lain tidak terlibat itu terpulanglah dengan keputusan kamu, sudah buat keputusan untuk bersendirian dan saling menasihati Umno,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, sikap terlalu banyak mengata kepada pihak lain tidak menyerlahkan nilai akhlak Islam walhal sepatutnya lebih baik menumpukan pada misi parti masing-masing.

Terdahulu, Rafizi dalam kenyataan bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan semalam berpendapat misi paling utama kesatuan politik itu pada masa ini adalah memberi tumpuan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam bulan Januari 2016 ini, ada beberapa peristiwa penting yang akan berlaku yang membawa kesan besar kepada rakyat.

“Ini adalah proses semakan semula Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2016 yang terpaksa dibentangkan semula oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana unjuran pendapatan Kerajaan Persekutuan kini tidak lagi dapat menampung perbelanjaan.

“Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari 2016 untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang akan membawa kesan besar kepada rakyat,” kenyataan yang turut dipersetujui bersama Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Amanah, Mohamad Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook itu dipetik.