Pertemuan dengan Tun M: Bincang hal Deklarasi Rakyat dan Pilihan Raya

Oleh MALAYSIADATELINE

Kumpulan Deklarasi Rakyat akan menyerahkan satu lagi surat kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu untuk membincangkan berkaitan intipati Deklarasi Rakyat dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan diadakan, itu antara perbincangan yang berlaku di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang turut bersama 30 lagi penandatangan awal Deklarasi Rakyat  dalam satu pertemuan dengan bekas perdana menteri itu pada Ahad lalu.

Beliau hadir bersama Pengarah Strategi Amanah Dr Zulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Pertemuan itu turut dihadiri pemimpin DAP antaranya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, Peguam S Ambiga dan Aktivis Hishamuddin Rais.

Salahuddin berkata, dalam pertemuan hampir dua jam itu, beberapa perkara dibincangkan bersama.

“Pertemuan itu diadakan selepas Dr. Mahathir menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat kepada Yang Dipertuan Agung di Istana Anak Bukit.

“Beberapa perkara dibincangkan secara serius tentang bagaimana selepas beliau bertemu Yang Dipertuan Agong menengahkan isu rakyat. Dr Mahathir akan menyerahkan satu lagi surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu agar ia menjadi agenda Raja Melayu untuk bincangkan perkara itu dalam mesyuarat akan datang.

“Supaya dapat dimasukkan dalam agenda kerana ia merupakan perkara berkepentingan rakyat dan negara untuk dapat perhatian Raja-raja Melayu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Salahuddin memberitahu turut dibincangkan bagaimana pakatan pembangkang harus memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang secara serius.

“Ini kerana sekiranya kita menjangkakan PRU itu akan berlaku pada April tahun depan kita sebenarnya begitu hampir sekali dan kesuntukan masa.

“Isu persempadanan semula kawasan pilihan raya juga perlu dibincangkan dan menimbulkan isu besar kepada SPR dan tindakan yang akan kita ambil secara kolektif,” ujarnya.

Ditanya soal perbincangan pembahagian kerusi, dalam pertemuan itu juga Salahuddin berkata, ia turut dibincangkan yang mana Dr Mahathir akan mengadakan satu pertemuan dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang akan diadakan dalam kadar segera.

“Pas juga kita cadang akan jemput terpulang kepada mereka untuk datang.” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan pertemuan itu diadakan antara Maria Chin dan parti pembangkang bertujuan untuk mendapat sokongan Bersatu dalam perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November depan.

Namun hal ini dinafikan Ahli Majlis Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut hadir dalam pertemuan tersebut berkata, tiada perbincangan mengenai Bersih 5 dan Bersatu masih lagi tidak menetapkan pendirian sama ada akan menyertai Bersih 5.

“Kita banyak berbincang mengenai Deklarasi Rakyat dan pilihan raya tidak Bersih5, kalau nak tanya pendirian Bersatu kena tunggu pengumuman yang akan dibuat nanti,” ujarnya ketika dihubungi.

Pada 15 September lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menurut sumber, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadap Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Pertemuan empat mata di antara Dr Mahathir dan Tuanku Abdul Halim berlangsung selama satu jam 15 minit tetapi tidak mengulas atau mendedahkan sebarang butiran mengenai pertemuan tersebut.

Sebelum ini, Deklarasi Rakyat didakwa ditandatangani lebih 1.3 juta rakyat Malaysia dan digerakkan oleh beberapa bekas pemimpin Umno, pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk mendesak penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pertemuan pemimpin pembangkang, NGO dan aktivis di kediaman Tun Dr Mahathir pada Ahad lalu.