Dalam tempoh tiga hari krisis Umno Negeri Kedah bergolak petang ini Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengadakan pertemuan khas yang difahamkan untuk mencari jalan tengah kepada penyelesaian antara 14 Ketua-ketua Bahagian dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pertemuan itu diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Kelibat yang kelihatan Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Badshah Md Hanipah, Ketua Umno Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom selain pemimpin akar umbi Datuk Seri Azeez Abd Rahim, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Maznah Hamid.
Selain kehadiran Ketua-ketua Bahagian turut hadir pimpinan bahagian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Kedah dan ahli-ahli bahagian yang berhimpun di ibukota untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.
Najib tiba di PWTC kira-kira jam 4.45 petang dan dilihat keluar dari dewan dalam jam 5.15 petang tadi.
Tujuan pertemuan Umno Kedah bertemu Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan krisis berlaku sebelum Najib dikatakan akan bertemu Mukhriz dijangka esok untuk mendengar penjelasan Menteri Besar itu.
Satu keputusan rasmi akan dibuat oleh Perdana Menteri pada 28 Januari ini megenai krisis dalaman ahli parti itu yang berlaku antara Ketua Perhubungan Negeri Kedah dan Ketua-Ketua Bahagian Kedah.
Pertemuan itu dibuat ketika spekulasi bertiup berkemungkinan Bashah akan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.
Pertikaian terhadap pentadbiran Mukhriz sedikit sebanyak dikaitkan dengan asakkan keras dan berterusan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pentadbiran Najib.
Bagaimanapun sehingga jam 6.50 petang ini tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak setelah media menunggu lebih tiga jam. Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusuh yang dilihat keluar dari dewan turut tidak mahu memberikan sebarang komen dan kebanyakan pemimpin mengelak daripada bertemu media.