Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus berkata kerajaan perlu memberi peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen, termasuk mereka yang tidak menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).
“Ini memandangkan wakil rakyat dalam keadaan tertentu dapat mengesan lebih cepat penderitaan yang dialami di akar umbi akibat wabak yang melanda.
“Semoga teman-teman Ahli Parlimen daripada Pejuang, Warisan dan Muda dapat memberi khidmat terbaik mereka di kawasan masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden AMANAH merupakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terlibat dalam sesi libat urus bersama Menteri Kewangan.
Pembaharuan Parlimen Perkara 3.5 MoU antara PH yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan PH pada 13 September lalu menetapkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam persefahaman itu.
“Tujuannya jelas; iaitu bagi menjamin khidmat berkesan dan manfaat akhir dapat dinikmati oleh rakyat,” kata Hasanuddin lagi.
