Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa parah selepas terlibat di dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal Yamaha RXZ pada awal pagi semalam.
Kejadian berlaku selepas motosikal RXZ yang ditunggang oleh mangsa dikatakan berlanggar sesama sendiri dalam insiden di Kilometer 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mangsa iaitu Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala dua rakannya yang lain iaitu Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dan Muhammad Arif Che Mahisan, 29, cedera parah di kepala akibat daripada kejadian berlaku pada jam 8.45 pagi itu, lapor Berita Harian.
Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang dari Kelantan sempena program RXZ Fighter yang berlangsung selama dua hari bermula pada Jumaat di Teluk Cempedak.
“Siasatan mendapati motosikal ditunggang Muhammad Arif dilanggar dari arah belakang oleh Mohamad Faizal Adam ketika sedang bergerak di lorong kecemasan. Lalu menyebabkan Muhammad Arif melanggar Muhammad Zarul Asyraf di hadapannya.
“Semua motosikal terjatuh dan terseret di jalan sebelum motosikal Mohamad Faizal Adam tercampak ke dalam longkang konkrit,” katanya dalam satu kenyataan selain memaklumkan bahawa mangsa yang maut telah dibawa ke Unit Forensik.
Jelas Azri, mayat Mohamad Faizal Adam dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Mohamad Faizal dipercayai maut akibat kecederaan parah pada kepalanya manakala kedua-dua mangsa yang lain iaitu Muhammad Zarul dan Muhammad Arif turut cedera di bahagian anggota sama.
Gambar membabitkan kemalangan ngeri tersebut tular di media sosial dan pihak polis memberitahu bahawa kes ini berada di dalam proses siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Baca juga: Disuruh bawa anak balik Malaysia untuk jumpa bapa, ini respon Shuhada