Petisyen arak: Armada Bersatu jawab Siti Kassim

Oleh MALAYSIADATELINE

ULASAN:Pertama sekali ingin saya ucapkan setinggi tahniah kepada Armada Selangor melalui Ketua Armada Selangor Adhif Syan dan juga Ketua Penerangan Armada Selangor, Nik Fathurahman Nik Rasli atas perlaksanaan petisyen membantah festival arak.

Sesungguhnya jumlah yang menyatakan bantahan untuk penganjuran pesta arak ini ternyata melebihi tanda sokongan berbanding petisyen menyokong penganjuran yang dijalankan oleh individu bernama Boo Su-Lyn dengan hanya berjaya mendapatkan sebanyak 2682 sokongan sewaktu petisyen ditamatkan dan diserahkan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya pada 3 Oktober baru-baru ini.

Berbanding pihak Armada yang mana sehingga 3 Oktober telah melebihi jumlah 30,000 dan menjangkakan akan mencapai jumlah ’40-50 ribu’ dalam masa terdekat. Difahamkan bukan dalam kalangan yang berbangsa Melayu sahaja telah menyatakan sokongan atas petisyen bantah penganjuran pesta arak ini!

Sedikit refleksi terhadap tohmahan Siti Kasim pada kenyataan beliau pada 4 Oktober sepertimana yang dilaporkan di beberapa buah media tempatan yang mengkritik bantahan pihak Armada Selangor, pertamanya beliau ada memaklumkan bahawa inisiatif ini bermotifkan politik.

Jawapan saya mudah, sesungguhnya mereka yang hanya menyatakan bantahan ‘tanpa tindakan’ untuk berani menzahirkan suara ramai itu ‘lebih politik’ berbanding ARMADA. Kebanyakan parti tidak kira blok dari Umno, Pas malah dalam kalangan Pakatan Harapan sendiri sekadar bersentimen kerana masing-masing takut kehilangan undi.

“Amatlah menyedihkan hanya faktor arak yang turut mampu memudaratkan dari segi sosial dijadikan faktor ugutan kehilangan undi? Adakah rakyat Malaysia malah yang ‘kaki minum’ begitu khayal dan mabuk pemikirannya hanya kerana membantah penganjuran pesta arak lalu sanggup untuk terus berada di bawah cengkaman rasuah dan salah-guna kuasa Umno-BNpimpinan bapa kleptokrat Najib Razak? Tanpa mengambil-kira sensitiviti ramai?

Jika benar, maka disebabkan hal arak Pakatan Harapan (berfaktorkan penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atas penentangan Armada) mampu kalah undi, diboikot dan memenangkan perasuah maka ternyata Malaysia bukan sahaja BN, namun sistem dalam masyarakat sendiri telah korup! (pemikiran dan tata masyarakat). Bayangkan, hanya disebabkan arak..sungguh menyedihkan.

Siti Kasim turut menambah, “Bila ahli politik akan mula berfikir sebagai rakyat Malaysia?” Justeru, di sini saya ingin membalas; Malaysia adalah sebuah negara yang ‘kononnya’ mengamalkan ‘Demokrasi’. Dek kerana berfikiran sebagai rakyat Malaysia yang menyebabkan Armada melakukan petisyen ‘balas’. Memaknai nilai demokrasi yang ternyata ‘sudah lenyap’.

Lihatlah bagaimana reaksi Siti Kasim terhadap petisyen. Seorang peguam dan aktivis ‘demokrat’ yang kononnya begitu ‘liberal’ dengan sendirinya begitu ‘tertutup’ dan merendahkan nilai amalan demokrasi meletakkan beliau setaraf dengan pemimpin Umno-BN

Bukankah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerdekakan kita untuk menyatakan suara atau pandangan (tentangan)? Tidak sangka Siti Kasim begitu kolot dalam hal sebegini.
Adakah pemikiran ‘liberal’ ini hanya terarah pada satu kehendak yang pada hematnya benar sahaja sehingga menidakkan hak dan pendangan orang lain?

Malah Siti Kasim turut ‘berbohong’ apabila mengatakan bahawa Armada yang memulakan petisyen, sedangkan Boo Su-Lyn yang terlebih dahulu memulakan petisyen beliau.

Sungguh ironi manusia seperti Siti Kasim yang kononnya begitu ‘mendaulahkan’ demokrasi tetapi menolak agenda pungutan suara ramai yang jelas masyarakat ‘berbilang kaum’ di Malaysia membantah penganjuran pesta arak ini.

Apakah Siti Kasim buta? Perbezaan 35,080 petisyen Armada Selangor (sehingga jam 12 tengah malam 5 Oktober 2017) yang membantah melebihi hanya 2682 jumlah sokongan petisyen Boo Su-Lyn.

Adakah mabuk setiap hari, setiap minggu (tanpa sedikitpun halangan) tidak cukup bagi masyarakat Malaysia (peminum arak)? Sehingga perlu dibudayakan pesta sebegini yang mana langsung tidak mencerminkan nilai ketimuran dan budaya masyarakat Malaysia?

Apatah lagi bercanggah dengan nilai dan juga sensitiviti agama Islam sebagai agama yang dianuti majoriti penduduk malah turut dipelihara perlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1); Islam Sebagai Agama Persekutuan.

Malah bercakap mengenai asas penubuhan tanah tercinta Malaysia, yang dibangunkan atas beberapa nilai yang dikenali sebagai Rukun Negara, nilai pertamanya itu sendiri dibangunkan dengan penerimaan terhadap agama, iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’.
.
Dilihat dalam konteks agama itu sendiri, bukan Islam sahaja melalui kalam Allah SWT iaitu Al-Quran menegah perbuatan yang melibatkan arak. Malah majoriti dari agama lain yang menjadi anutan di dunia dan dianuti berbilang kaum di Malaysia nyata mempunyai larangan terhadap arak.

Agama datang untuk mengawal manusia dengan hukum Allah agar tidak melakukan kerosakkan di dunia. Ini kerana, arak merupakan ibu segala kejahatan dan apabila mabuknya seseorang itu akal fikirannya sudah tidak berfungsi dengan waras juga khayal dan dia boleh melakukan apa sahaja di luar norma penguasaannya.

Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Maa-idah : 90-91;
.
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr (arak), berjudi, (korban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan khamr dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan shalat; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).”

Sesungguhnya ini bukanlah politik, inilah ‘maqasid’ yang perlu ditegakkan sejajar dengan tuntutan agama Islam apatah lagi Islam selaku agama persekutuan di tanah pusaka tercinta ini yang mampu membawa susun atur nilai murni dalam tiap masyarakat tidak kira kaum dan agama di Malaysia.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
.
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dari hadis Abu Said r.a).

Nasihat saya kepada Siti Kasim, hentikanlah bersifat bodoh sombong dan melata angkuh di muka bumi tuhan. Kepada-Nya kita akan kembali jua. Kita manusia lumrah melakukan kesilapan, andai tersalah langkah hanya kepadaNya tempat memohon maaf.

Penulis Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.