Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mengecilkan saiz Kabinet serta menamatkan jawatan duta-duta khas luar negara seperti Duta Khas ke India, China, Amerika Syarikat (AS) dan Timur Tengah.
Menerusi kenyataan hari ini, jawatankuasa tersebut juga mendesak supaya elaun Perdana Menteri, menteri-menteri dan timbalan-timbalan Menteri dipotong dan dipulangkan kepada rakyat.
Dalam masa sama, jawatankuasa terdiri daripada sembilan anggota itu mahu kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengurangkan segala bentuk lawatan ke luar negara dan membatalkan kos percutian menteri-menteri Kabinet bagi tahun ini.
Bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup secara mendadak juga, PH turut mahu Putrajaya mengkaji semula semua elaun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ahli-ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLiC).

Selain itu, jawatankuasa diwakili PKR, AMANAH dan DAP tersebut menegaskan bahawa penggunaan hasil cukai secara bersasar dan efisien perlu dalam usaha membantu rakyat.
“Pada belanjawan lepas, kerajaan telah memperkenalkan Cukai Makmur dan hasil mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata mereka.
Berhubung harga ayam dan telur, jawatankuasa terbabit menuntut supaya kerajaan mengekalkan harga siling kedua-dua bahan makanan itu.
Serentak itu, jelas mereka, subsidi kepada penternak dan pengusaha harus ditambah mengikut keadaan semasa agar bekalan ayam dan telur dalam negara kekal tanpa menghadapi masalah bekalan terputus.
“Subsidi minyak masak botol dikekalkan dan kerajaan mesti menetapkan mekanisme kawalan pembelian kepada semua rakyat agar bekalan tidak terputus pada masa depan. KPDNHEP perlu melaksanakan tanggungjawab ini.
“Subsidi gas masak silinder (tong gas) mesti dikekalkan. Penjualan RON95 mesti dikekalkan sebagaimana zaman Kerajaan PH berjaya mengekalkan harga pada kadar RM2 seliter yang tidak diapungkan.
“Cadangan menaikkan tarif air dan elektrik mesti dihalang dan dikekalkan pada harga semasa demi kesejahteraan semua pihak,” tegas jawatankuasa blok pembangkang itu lagi.