PH gesa laksana segera pindaan MA63

Oleh ARIF ATAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan segera melaksanakan pindaan perlembagaan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi kenyataan bersama hari ini, PH menyatakan rasa kecewa dan kesal dengan sikap kerajaan yang telah menangguhkan pindaan tersebut.

“Kami difahamkan berdasarkan laporan media bahawa Rang Undang-Undang tersebut akan
dibentang di Parlimen pada 26 Oktober, namun ia tidak akan dibahas dan diluluskan pada 28
Oktober seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Penangguhan ini berlaku walaupun proses perbincangan dan rundingan telah diadakan selaras
dengan Perkara 5 Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) perlu memberi komitmen untuk segera melaksana pindaan ini demi keadilan buat rakyat Sabah dan Sarawak,” kata PH.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu lagi, PH semestinya menyokong penuh pelaksanaan pindaan tersebut yang merupakan kesinambungan usaha pimpinan blok itu sejak sekian lama.

Sebelum ini, PH jelasnya, menuntut pengiktirafan Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Anwar pada 2008, serta pendirian Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.