PH harus diberi peluang perbetulkan negara

Oleh KIM SYAZIE

Pakatan Harapan (PH) harus diberi peluang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk memperbetulkan negara yang telah rosak akibat kepimpinan kerajaan erikatan Nasional (PN) sebelum ini. 

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Jelajah PH ke Parlimen Kulim-Bandar Baru malam tadi berkata, kemenangan PH dalam PRU kali ini amat penting bagi memastikan tidak lagi wujudnya bermacam-macam kegagalan pentadbiran kerajaan sehingga rakyat terbeban dan berada dalam kesulitan. 

“Masalah yang dihadapi oleh negara sekarang adalah pimpinan yang gagal. Mereka tidak mampu untuk mengatasi pelbagai masalah yang membebani rakyat termasuklah kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan. 

“PH boleh membawa perubahan. Kita akan menyelamatkan ekonomi negara. Imej negara akan dipertahankan. Pelaburan asing akan dibawa masuk.Saiz kabinet akan dikecilkan. Gaji menteri akan dikurangkan dan tiada duta-duta khas sepertimana yang dipraktikkan oleh kerajaan PN sebelum ini. 

“Yang pasti kita tidak akan benarkan agama menjadi tunggangan oleh mana-mana pihak. Keadilan mesti ditegakkan dan  rakyat miskin mesti diberi pembelaan,” ujar beliau lagi. 

Hadir sama ialah calon PH Kulim-Bandar Baru, Datuk Seri  Saifuddin Nasution, calon Padang Serai, Karupaiya Mutusami, calon Pokok Sena, Datuk Wira Mahfuz Omar serta pimpinan PH. 

Baca juga: Bukan biasa-biasa, kereta dan vespa dijadikan mas kahwin

Baca juga: Kondominium mewah di JB terbiar lebih 20 tahun, masih menjadi misteri mengapa ditinggalkan