PH ingatkan SKMM jangan jadi alat pemerintah

Oleh ARIF ATAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan untuk bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi kerajaan-kerajaan negeri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, PH berkata, kegagalan Kerajaan Persekutuan telah menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter, khususnya para Menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat dan membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.

“Tindak balas Kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para Menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat.

“Apakah kritikan-kritikan ini begitu menggugat keselamatan negara, sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terpaksa meminta Twitter memadam kritikan para netizen ini?

“Tindakan SKMM ini bersifat anti-demokratik dan mengingatkan kami tentang sifat kuku besi diktator yang pernah rakyat Malaysia lihat dahulu,” katanya lagi.

Kenyataan bersama itu melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO).

Menurut Majlis Presiden PH lagi, sifat kuku besi diktator tidak patut dan tidak boleh kembali ke zaman itu lagi, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.

“Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.

“Kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya,” kata majlis itu lagi.

Sehubungan itu, mereka menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera.

“Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang,” tambahnya lagi.