PH Melaka berikrar selesaikan masalah banjir dalam tempoh lima tahun

Oleh ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) Melaka komited untuk mengatasi masalah banjir yang merupakan isu utama penduduk di negeri itu.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, pihaknya berikrar untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memastikan semua sumber digembleng sewajarnya dalam jangka masa yang dijanjikan.

Antara pendekatan kerajaan PH Melaka dalam menangani isu tersebut seperti membersihkan longkang dan parit secara berkala bagi memastikan ia tidak tersumbat dan boleh menyebabkan banjir.

Dalam masa sama, kerajaan PH akan mewujudkan kawasan tanah lembap dan menyelenggara serta membina kolam takungan bagi membolehkan penyaluran air dengan sempurna.

Adly yang juga Pengerusi AMANAH Melaka merangkap calon PH bagi DUN Bukit Katil tersebut berkata demikian dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, langkah menyelesaikan masalah banjir di negeri itu menjadi antara fokus utama Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dilancarkan minggu lalu.

Sehubungan itu, kerajaan PH akan mengkaji semua projek reklamasi tanah serta tambakan laut dengan teliti.

Beliau menegaskan pihak pelaksana perlu menyediakan perancangan serius bagi menghadapi kemungkinan hujan lebat bagi tempoh jangka panjang.

Selain itu, kerajaan PH Melaka juga, jelasnya, akan mengutamakan pencegahan dan pengurusan bencana banjir melalui perancangan bandar terutama memastikan tiada projek pembangunan terlampau.

“Dengan menerima hakikat bahawa perubahan iklim menjadi punca banjir di dunia, kerajaan Pakatan Harapan Melaka bertekad menjadikan Bandaraya Melaka sebagai kota hijau yang utama melawan perubahan iklim di negara ini,” tambahnya lagi.