Adalah tidak wajar sesetengah pihak menggunakan foto solat Aidiladha di tanah lapang dan di luar kawasan masjid untuk menimbulkan provokasi, apatah lagi menghina agama Islam sama ada secara terang-terangan atau sebaliknya.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob berkata, tidak wajar jika isu solat Aidiladha dipolitikkan kerana mereka yang melaksanakan solat tersebut di negeri itu patuh dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Untuk makluman 120 buah masjid di negeri Perlis semuanya mengamalkan dan mematuhi SOP yang ketat dengan arahan yang telah ditetapkan sehinggakan kini Perlis sudah berada pada fasa 2 dengan kes harian Covid-19 berada dibawah angka 10.
“Pada masa ini tidak harus ada mana-mana pihak yang cuba memainkan isu perkauman dan agama dengan mempolitikkan isu solat Aidiladha walaupun telah beberapa hari ia diraikan sehingga boleh mencetuskan isu perkauman yang melampau dan berbahaya.
“Wanita PH dan AWAN Negeri Perlis mengharapkan isu rakyat, isu utama negara dan pembukaan Parlimen menjadi prioriti berbanding memfokuskan isu solat sunat Aidiladha di tanah lapang dan seumpamanya seperti yang berlaku baru-baru ini,” ujar Che Mazlina yang juga merupakan Ketua AWAN Negeri Perlis.