Rakyat perlu digerakkan bagi menyelamatkan Malaysia dengan kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi.
Malahan, kempen gerakkan ‘Jom Keluar Undi Untuk Selamatkan Malaysia’ menjelang 19 November ini harus ditingkatkan bagi memastikan perubahan yang diharapkan dapat menjadi realiti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pilihan raya umum (PRU) ke-15 kali ini merupakan peluang keemasan yang mesti direalisasikan.
“Peluang ini mesti direbut oleh PH bagi meneruskan perkara-perkara yang belum dapat diselesaikan setelah tempoh pemerintahan yang singkat hanya selama 22 bulan.
“Banyak usaha dan rencana yang boleh dibuktikan. oleh PH sekiranya mandat penuh dapat diperolehi dalam PRU ke-15 kali ini.
“PH amat berharap Pulau Pinang dapat mencatatkan peratusan keluar mengundi yang paling tinggi pada 19 November dan menjadi negeri paling ramai keluar mengundi.
“PRU kali ini amat penting kerana ia merupakan peluang untuk memilih sebuah kerajaan yang adil, saksama serta mampu membina dan memulihkan semula negara ini,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.