PH sertai MoU dengan kerajaan untuk junjung titah Agong stabilkan negara

Oleh BORHAN AHMAD

AMANAH menegaskan bahawa, komitmen PH untuk mengikat dan meneruskan MoU dengan Perdana Menteri adalah untuk menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan supaya parti-parti politik dapat mewujudkan kestabilan politik.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam kenyataannya berkata, kestabilan pentadbiran negara bertujuan untuk membolehkan kerajaan yang ada menumpukan usaha membendung penularan wabak Covid-19, memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

“Atas semangat itu juga, PH telah menuntut inisiatif-inisiatif tertentu ditetapkan di dalam MoU untuk memastikan matlamat kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik dapat dicapai antaranya yang berkait dengan pemerkasaan pelan Covid-19, peruntukan untuk kebajikan rakyat dan meluluskan undang-undang anti-lompat parti,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Namun, katanya, amat malang sekali, Umno yang kononnya menggambarkan partinya mampu membawa kestabilan lebih berminat bermain politik untuk merebut kuasa dan ternyata Umno adalah dalang sebenar punca ketidakstabilan politik sepanjang dua tahun ini.

“Kami yakin YAB Perdana Menteri sanggup dan mampu melihat persoalan MoU ini dari sudut kepentingan rakyat dan negara dan bukan dari sudut politik sempit seperti Umno,” kata Khalid.

Khalid merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 14 April 2022 yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umnoyang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari yang sama.

Dalam kenyataan tersebut, dinyatakan Umno telah membuat keputusan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir pada 31 Julai 2022 tidak akan diteruskan lagi.

Perlu dijelaskan di sini bahawa MoU tersebut adalah persetujuan dan ikatan yang dibuat di antara PH dengan Kerajaan Persekutuan, bukannya dengan Umno, kata Khalid.

Oleh itu, bagi beliau, sebarang keputusan untuk meneruskan atau tidak meneruskan MoU tersebut adalah tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, bukannya keputusan mesyuarat MKT Umno.

Dalam kenyataannya semalam, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, beliau akan terikat dengan keputusan Umno itu manakala Tan Sri Annuar Musa pula mencadangkan agar Ismail dilantik sebagai Pengerusi BN.

Mengulas kenyataan Ahmad Maslan yang menyatakan Umno sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Khalid berkata, kenyataan ini mengingatkan apa yang berlaku di Johor sebelum ini.

“Kenyataan ini mengingatkan kita kepada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di mana Umno yang awalnya menjanjikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor akhirnya mengangkat Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ganti.

“Adakah langkah Umno mengumumkan YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri itu satu helah untuk menggesa beliau menyegerakan pembubaran parlimen bagi pilihanraya umum diadakan dan seterusnya membuka jalan untuk Umno melantik Perdana Menteri baharu yang lebih bersedia menyelamatkan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak?” tanya Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam itu.

SEKAT BN KEMBALI BERKUASA

Khalid membacakan kenyataan media rasmi AMANAH dalam sidang media baru-baru ini manakala Mohamad Sabu menjawab segala persoalan dari pihak media.

Kelmarin dalam sidang media AMANAH, Khalid membacakan kenyataan rasmi AMANAH yang memutuskan untuk mengajak semua pembangkang bekerjasama bagi menyekat BN menjadi kerajaan semula.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu yang menjawab persoalan apabila ditanyakan media berkata, kenyataan Nurul Izzah yang berkata PH sukar untuk menang dalam pilihan raya kali ini hanyalah pandangan peribadinya.

“Sebarang pandangan adalah bebas, dalam PH kita bebas mengeluarkan pandangan,” katanya.

Katanya lagi, AMANAH boleh berjumpa dengan sesiapa saja bagi membincangkan kerjasama PRU ke-15 termasuk Bersatu.

Namun, katanya, Bersatu masih sebahagian daripada kerajaan berbanding parti serpihannya, Pejuang yang dilihat “senada” dengan PH di dalam Parlimen.

“Kita boleh bertemu dengan sesiapa saja, namun sebarang ketetapan diputuskan secara bersama dalam parti,” katanya lagi.