Pilih untuk jadi ‘low profile’, pilot mengaku diri kerja ‘drebar’ dekat orang tak dikenali

Oleh MALAYSIADATELINE

Sudah menjadi kebiasaan untuk menyembunyikan status pekerjaan kepada orang yang baru sahaja dikenali.

Begitu jugalah dengan juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol yang memilih untuk merahsiakan pekerjaan sebenarnya.

Menerusi Facebook, Mohd Ezairol berkongsi kisahnya yang sering diasak dengan soalan mengenai kerjayanya.

“Semalam dalam post bila aku cakap aku kerja drebar, ramai yang tersenyum ingat aku bergurau senda. Tapi hakikatnya camtulah bila aku ditanya oleh orang yang aku tidak berapa kenali.

“Bila pergi ke majlis kenduri atau rumah terbuka kawan aku atau kawan orang rumah (isteri), antara soalan wajib yang selalu ditanya ialah kamu kerja apa atau kamu kerja kat mana.

“Biasanya yang tanya ni pak cik dan mak cik tapi kadang ada juga ahli kariah surau atau masjid yang saja tanya sebab mereka nak berkenalan dengan kita,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Perbualan terputus lepas cakap kerja ‘dreba’

Menurutnya, dia merasakan benda ini normal namun yakin ia menimbulkan ketidakselesaan untuk pihak lain.

Buat Mohd Ezairol, dia memilih merahsiakan pekerjaan untuk elak salah faham dan bimbang dinilai orang.

“Bukan apa, takut orang salah faham dengan kita. Maklumlah, kadang-kadang orang menilai kita dengan pakaian atau kereta yang kita bawa. Kalau aku jujur cakap kerja apa, mesti orang akan cakap aku menipu, sembang tak nak jatuh kata mereka.

“Aku biasanya kalau pergi ke majlis selalunya naik Axia. Kereta kecil ni senang menyelit bila nak parking. Aku lebih suka ‘low profile’ bila sembang dengan orang yang aku baru kenal.

“Sebab bila kita letak diri kita di bawah, baru kita nampak karakter orang yang berbual dengan kita tu macam mana.

“Sesetengah orang bila aku cakap je kerja ‘drebar’ (pemandu) terus dia berhenti sembang dengan kita, perbualan terputus serta merta,” jelasnya.

Kereta bukan simbol kejayaan

Pada masa sama dia berkongsi bahawa ramai orang melihat kereta sebagai satu simbol kekayaan dan ini penyebab ramai anak muda tersalah langkah.

“Ada sesetengah orang kita ni depa lebih suka melihat pada kereta itu sebagai satu simbol kejayaan.

“Sebab itulah ramai orang muda yang tersilap langkah kerana berlumba-lumba nak tunjuk siapa yang lebih berjaya.

“Mereka mencari pengiktirafan dan nak tunjukkan kejayaan mereka dari orang² yang mengenali diri mereka.

Dan akhirnya hidup merana sebab sakit kepala dibelenggu hutang yang menyesakkan jiwa. Moga kita semua terselamat dari golongan ‘Biar Papa Asal Bergaya’,” tambahnya.

Baca juga: Rimas dapat soalan bila nak kahwin atau dapat anak? Pakar motivasi ajar cara sopan ‘smash’ mak cik bawang