Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperlukan untuk sementara waktu bagi kerajaan negeri mengawal penularan wabak Covid-19 ke tahap yang lebih baik.
Menurutnya, Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital di Selangor kini sudah mencapai tahap penggunaan sehingga 90 peratus dan ianya amat membimbangkan.
Kerana itu katanya, Selangor merasakan PKP adalah perlu untuk menghalang penularan dan meredakan keadaan genting yang berlaku ketika ini.
“Adakah PKP penyelesaian muktamad? Sama sekali tidak. PKP ini hanya langkah sementara untuk kita kawal ke tahap tertentu, dan ianya perlu.
“Langkah terpenting ialah vaksinasi. Vaksin juga bukan penyelesaian tetapi jika 80 peratus rakyat divaksin dan mula membina imuniti kelompok, bermakna selepas ini tahap teruk jangkitan itu tidak begitu membahaykan.
“Sekarang ini kita nak elakkan orang ramai dari dijangkiti Covid-19 sehingga ke tahap empat dan lima. Tahap Ketiga akan mula rasa sesak nafas. Tahap empat perlukan oksigen dan tahap lima terpaksa masuk ICU,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya hari ini.
Pada masa sama Mariah berkata, apabila pergerakan dan perhimpunan setiap individu dapat dikurangkan, maka penyebaran jangkitan dari satu orang ke orang yang lain juga dapat dikurangkan dengan berkesan.
Jelasnya, jika sudah mencapai imuniti kelompok, secara tak langsung virus itu sendiri akan terputus dan tidak akan merebak pada individu lain.