Demi kelancaran pengguna, PLUS sedia tambah lorong RFID

Oleh KIM SYAZIE

Disebabkan ramai mengeluh mengenai kesesakan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedia menambah 12 lorong RFID secara berperingkat melibatkan 11 plaza tol utama.

PLUS dalam satu kenyataan berkata, antara yang terlibat adalah Plaza Tol Rawang Selatan, Setia Alam, Kubang Semang, Subang, Putra Mahkota, Shah Alam, Jalan Duta, Jambatan Pulau Pinang, Sungai Buloh, Sungai Besi, dan Kajang.

“PLUS ambil maklum dan menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan kenyataan media oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia semalam berkenaan penambahan lorong RFID.

“PLUS sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik demi kesejahteraan, keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya,” katanya hari ini.

PLUS pada masa sama, menjangka kesemua proses penambahan lorong RFID akan disiap secara berperingkat menjelang pertengahan April tahun ini.

“PLUS juga menasihatkan semua pengguna RFID untuk sentiasa menggunakan lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol.

“Pastikan baki eWallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” tambahnya.

Baca juga: Dah balut parcel setebal bantal tapi masih pecah, bekas penghantar barang buka cerita sebenar