PM Anwar umum tiada sambutan Ambang Tahun Baru 2023 demi hormati mangsa banjir di Pantai Timur

Oleh KIM SYAZIE

Atas dasar menghormati kesusahan rakyat yang sedang berhadapan bencana banjir di Pantai Timur ketika ini, sambutan Ambang Tahun Baharu dijadualkan pada 31 Disember depan, dibatalkan.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Perdana Putra, hari ini.

“Oleh kerana banjir dan kesusahan rakyat, kita putuskan sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka dibatalkan,” katanya.

Hari ini media melaporkan, seramai 72,266 mangsa banjir direkodkan setakat pagi tadi apabila jumlah mangsa di Terengganu dan Kelantan terus meningkat, Johor dan Perak kekal, manakala di Pahang semakin kurang.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 orang daripada 10,937 keluarga malam tadi.

Bagi negeri Kelantan pula, seramai 31,487 orang daripada 9,055 keluarga berada di PPS pagi ini berbanding 31,313 orang daripada 9,005 keluarga malam tadi.