Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Los Angeles, Sunnylands dan San Francisco, Amerika Syarikat dari 11 hingga 17 Februari ini.
Kenyataan media Kementerian Luar yang disiarkan Bernama menyebut, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Negeri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Kemuncak lawatan kerja tersebut adalah penyertaan Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN di Sunnylands, California, pada 15 dan 16 Februari ini.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 21 November 2015, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menjemput semua Pemimpin ASEAN untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN.
Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN terdiri daripada dua sesi iaitu perbincangan mengenai langkah-langkah mempromosikan Komuniti Ekonomi ASEAN yang bercirikan inovasi dan keusahawanan serta perbincangan isu-isu yang berkaitan dengan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Tujuan Sidang Kemuncak tersebut adalah untuk meraikan peningkatan taraf hubungan dialog ASEAN-Amerika Syarikat kepada perkongsian strategik dan sebagai wadah untuk pemimpin ASEAN dan Amerika Syarikat untuk bertukar-tukar pandangan terutamanya mengenai kerjasama serantau ASEAN-Amerika Syarikat serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Di akhir Sidang Kemuncak tersebut, pemimpin dijangka mengeluarkan satu dokumen yang menekankan prinsip-prinsip yang dipersetujui antara ASEAN dan Amerika Syarikat dalam memajukan hubungan dialog di bawah perkongsian strategik yang baru.
Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dengan diaspora rakyat Malaysia dan pelajar di Los Angeles. Di San Francisco, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat meja bulat dengan Pengurus Dana, bertemu dengan kapten-kapten industri, serta lawatan ke Apple Inc dan TESLA Motors.
“Malaysia dan Amerika Syarikat terus menikmati hubungan dua hala yang rapat dan akrab dalam bidang utama kerjasama termasuk politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan.
“Jumlah perdagangan dua hala bagi tempoh Januari-November 2015 bernilai USD30.24 bilion, peningkatan sebanyak 10.6% berbanding tempoh yang sama pada 2014, dengan eksport bernilai USD 17.20 bilion dan import bernilai USD 13.04 bilion.
“Amerika Syarikat merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2014,” kenyataan media Wisma Putra itu dipetik.