PM tubuh pasukan jihad tangani inflasi, tapi rakyat masih terbeban dan melarat

Oleh KIM SYAZIE

Idea yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mewujudkan pasukan jihad bagi menangani inflasi yang diketuai oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, umpama mencurahkan air ke daun keladi, sia-sia dan tidak bermaya. 

Sebaliknya, kata Ketua Pemuda AMANAH Tasek Gelugor, Muhammad Fitri Termizi, sehingga ke hari ini masih tiada lagi penyelesaian tuntas mengenai masalah kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat tatkala ini. 

Kata beliau lagi, bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan tidak boleh merisikokan simpanan hari tua para pencarum dengan meluluskan pengeluaran khas 2.0 semata-mata, sebaliknya mencari resolusi lebih konkrit supaya rakyat tidak terus terbeban dan melarat. 

“Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) turut menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan permohonan pengeluaran khas KWSP 2.0 kepada 14 juta ahli yang mencarum setelah terdapat lebih 130 ribu aduan diterima NGO tersebut menuntut pengeluaran khas terbabit diluluskan ekoran kos sara hidup yang makin menggila. 

“Malah menurut data yang dikeluarkan KWSP terdapat hampir 3 juta simpanan pencarum yang berada pada tahap kritikal dibawah RM1000 dan hampir 50 peratus pencarum yang berumur 54 tahun hanya memiliki kurang 50,000 menjelang hari persaraan mereka tahun hadapan. 

” Kerajaan perlu cari inisiatif lain termasuklah mengurangkan jumlah caruman dari gaji bulanan pencarum supaya lebih banyak tunai dapat dibawa pulang. Pemotongan 11 peratus boleh dikurangkan kepada 5 peratus dan seterusnya ia mampu untuk merancakkan ekonomi dan mengurangkan beban pencarum, ” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Selain itu kata Muhammad Fitri lagi, alternatif seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan ialah mengembalikan dan menambah subsidi barangan keperluan. 

Tambah beliau, bagi menyokong pelaksanaan ini kerajaan perlu melakukan penjimatan termasuklah mengecilkan anggota Kabinet kerana Kbinet besar yang tidak efektif seperti sedia ada kini menelan kos berbilion ringgit merangkumi gaji dan elaun para menteri dan staf serta pengurusan dan peruntukan kemlenterian. 

Sekiranya rencana ini dapat direalisasikan katanya, kerajaan diyakini dapat menyelamatkan simpanan hari tua para pencarum KWSP serta membantu mereka dalam menghadapi kos lonjakan sara hidup yang amat kritikal ketika ini. 

Baca juga: Jika benar golongan bukan Islam punca rasuah, mengapa negara Islam corot dalam indeks rasuah?