Perikatan Nasional (PN) Pahang berhasrat untuk bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beberapa siri pertemuan tidak rasmi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan Pahang telah diadakan termasuk rundingan awal berkaitan agihan kerusi, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, perbincangan itu masih di peringkat terlalu awal dan ketiga-tiga parti bersetuju menghantar dua wakil untuk berbincang sebelum ia dibawa ke peringkat jawatankuasa PN Pahang.
“Kumpulan ini akan berbincang ‘dari hati ke hati’ untuk kita melihat apakah formula terbaik dalam pengagihan kerusi yang bakal ditandingi PN Pahang pada PRU15.
“Dalam perbincangan tidak rasmi sebelum ini kita nampak ada kesefahaman tentang jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Rangka kasarnya sudah nampak namun setiap parti kena rujuk kepada jawatankuasa pusat parti masing-masing,” katanya dalam satu sidang media malam tadi.