PN Sarawak cadang Kuching jadi ibu negara Malaysia kedua

Oleh KIM SYAZIE

Perikatan Nasional (PN) Sarawak mencadangkan agar Bandaraya Kuching diangkat untuk dijadikan sebagai ibu negara kedua Malaysia pada masa akan datang.

Menurut Pengerusinya, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian ia memandangkan kedudukan yang akan menjadi tumpuan dan focal point bagi rantau ASEAN apabila ibu kota baharu Indonesia siap sepenuhnya nanti.

Katanya, ibu kota baharu Indonesia terletak antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara dan dinaungi dua kota lain iaitu Balik papan dan Samarinda dengan dilaporkan telah diperuntukkan sebanyak USD$32 bilion oleh kerajaan Indonesia dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2025.

“Pembangunan itu nanti sudah tentu akan merapatkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerana akan lebih ramai rakyat saling berkunjungan antara satu sama lain khususnya ke wilayah Kalimantan.

“Malah  pemindahan ibu kota baharu Indonesia itu ke Kalimantan Timur juga dilihat akan membawa perkembangan positif kepada Malaysia terutamanya di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Mengenai pembentangan usul Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Perdana Menteri minggu lalu, Jaziri berharap agar peruntukan untuk Sarawak dan Sabah perlu dipertingkatkan lagi.

“Peningkatan peruntukan ini bukan sahaja merujuk kepada pembangunan infrastruktur asas, perhubungan pendigitalan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi malah termasuk dalam pembangunan modal insan dan pendidikan, seperti yang tertera di dalam Pemacu Perubahan RMK12.

“Justeru, saya berharap agar Perdana Menteri dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan untuk diagihkan kepada Sarawak dan Sabah kelak, ” tegasnya.