Kadang-kadang bila lihat di tepi jalan ada rumah dengan pokok mangga yang berbuah lebat, nak minta segan jadi lihat sahaja.
Selalunya bila banyak sangat buah ni kadang-kadang tak habis makan akhirnya buah buruk bila jatuh atas jalan.
Disebabkan itu pengguna TikTok, Shafika Razali memilih untuk berkongsi dengan jiran atau mereka yang terliur dengan buah mangga di hadapan rumahnya.
Menerusi gambar yang dikongsi, pemilik tersebut menampal kertas di batang pokok mangga tersebut.
“Nak buah mangga, ambil sahaja. Tak perlu minta. Galah ada dekat tepi pokok,” jelas tulisan pada kertas putih itu.
Di ruangan komen, Shafika memaklumkan bahawa pokok tersebut adalah milik ayahnya dan dialah mencadangkan untuk tulis itu.
“Ayah saya pemilik pokok ni ha. Dia yang suruh tulis ni selalunya orang yang lalu lalang hanya pandang sahaja.
“Mungkin segan nak minta, bila dah buat macam ini maka orang pun tak segan nak ambil daripada biar sahaja buah tu rosak,” ujarnya.

Rata-rata netizen memuji tindakan pemilik TikTok yang bermurah hati malah berkongsi kebanyakan mereka segan untuk meminta.
“Macam ini kan senang, ini tidak biar sahaja buah banyak kemudian buruk macam tu sahaja, sayang betul.
“Inilah yang bagus, tak ada istilah mencuri. Kita kerja mesin rumput tepi jalan, selalu terliur. Nak ambil takut jadi pencuri,” antara komen netizen.
Seorang lagi pengguna berkongsi kisah lucu apabila niat baiknya disalah erti hingga habis buah rambutan di ambil satu individu.
“Teringat pula waktu kecil dekat depan rumah ada pokok rambutan yang jenis buah lebat kemudian ada orang lalu cakap isteri dia mengidam.
“Kita pun cakap ambil buat rasa-rasa tapi tak sangka habis licin dia ambil buah sampai tinggal daun je dekat kita.
“Penuh dalam ‘bonet’ kereta, tak tahulah nak jual ke nak makan buah tu,” komen pengguna tersebut.
Baca juga: Macam tu je digula-gulakan, IShowSpeed melompat dapat beli jam Rolex ‘ori’ dekat Petaling Street