Wanita yang mendakwa seorang anggota polis bertindak menunjukkan isyarat lucah kepadanya ketika mengambil gambar dalam satu protes kemanusiaan di ibu kota pada 13 Disember lalu sudah tampil membuat laporan, semalam.
Bagaimanapun, mangsa dikenali sebagai Intan Zaahirah itu meminta supaya mereka yang menerima gangguan serupa daripada anggota terbabit untuk tampil membuat laporan polis kerana khuatir pelaku hanya akan dikenakan hukuman minimum.
Hal ini berikutan Intan yang bekerja sebagai pembantu penyelidik itu adalah mangsa pertama membuat laporan berhubung kes tersebut meskipun ramai individu lain mengaku turut menerima gangguan sama dari anggota terbabit.
Malah menurut Intan, sekurang-kurangnya lima individu sudah tampil menghubunginya menerusi platform media sosial setakat ini dan mengadu bahawa mereka turut mengalami gangguan serupa melibatkan anggota polis berkenaan, lapor Malaysia Kini.
“Saya lebih geram terhadap apa yang berlaku kepada mangsa lain yang telah menghubungi saya. Daripada anggota polis ini, terdapat sekurang-kurangnya lima mangsa (menerima gangguan serupa).
“Untuk kes saya, saya dimaklumkan oleh peguam bahawa jika saya merupakan orang pertama yang melaporkan kesnya, pegawai polis tersebut hanya akan mendapat hukuman minimum.
“Namun jika lebih ramai orang datang dan membuat laporan polis tentang gangguan ini, maka ia akan menjadikan kes ini lebih kuat,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Terdahulu, Intan bersama peguam yang mewakilinya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selain turut memberikan keterangan di IPD Wangsa Maju, semalam.
Dalam laporan itu, Intan berkata anggota polis terbabit telah menunjukkan isyarat seks oral kepadanya pada 13 Disember lalu ketika sedang merakamkan gambar dalam protes ‘Turun demi Palestin’ di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Intan memahami bahawa ramai daripada mangsa mungkin teragak-agak untuk membuat laporan polis dan meminta mereka mendapatkan sokongan yang kuat sebagai teman pendamping ketika berbuat sedemikian.
“Nasihat saya, dapatkan sistem sokongan yang kuat untuk membantu anda tampil ke hadapan dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Sebaik-baiknya, sila bawa seorang peguam bersama anda.
“Mereka dapat membantu anda untuk memfailkan laporan polis kerana sukar untuk melakukan ini sendirian. Kita juga boleh memastikan anggota polis tersebut mendapat hukuman lebih berat.
“Malah, hukuman yang paling berat,” ujarnya yang merasa berang dengan perbuatan anggota polis berkenaan berikutan tidak menjalankan tugas sepatutnya iaitu melindungi orang ramai.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Intan iaitu Muhammad Asyraf Azni menyifatkan insiden berkenaan sangat memalukan ekoran anggota polis yang seharusnya melindungi masyarakat malah bertindak sebaliknya.
Oleh yang demikian, Asyraf berharap lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis supaya perlakuan tidak senonoh sedemikian melibatkan anggota penguat kuasa dapat dibendung untuk selamanya.
“Saya rasa sangat memalukan untuk seluruh rakyat Malaysia, di mana pihak polis sepatutnya bertugas melindungi rakyat dan melindungi masyarakat secara umum daripada kesalahan jenayah.
“Kami berharap ramai lagi di luar sana yang pernah menjadi menjadi mangsa, sila buat laporan. Insya-Allah, kita akan sama-sama cuba untuk tamatkan semua ini untuk selamanya.” Tegasnya.
Baca juga: Penjual teh ais merayu supaya dihina Gus Miftah sebab nak bantuan macam Sunhaji