Polis gagalkan 6 operasi militan Isis di negara ini

Oleh BORHAN AHMAD

Polis telah berjaya menggagalkan enam cubaan kumpulan militan Islamic State Iraq and Syria (Isis) melakukan operasi keganasan di negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Ayob Khan Bin Mydin Pitchay.

Dua atau tiga dari percubaan itu berjaya disekat selepas mereka telah membeli bahan letupan, kata Ayub dalam rancangan Soal Jawab di TV3 malam tadi.

“Satu dari tangkapan yang kita buat adalah di dalam sebuah bilik hotel di Cheras ketika sedang membuat rancangan lagi,” kata Ayub dalam rancangan itu.

Di samping itu, Ayub juga berkata, sehingga kini pihak polis menahan dan mendakwa 8 rakyat negara ini yang pulang dari Syria selepas melakukan aktiviti militan di sana.

“Negara-negara barat tidak boleh melakukan perkara ini kerana mereka tidak ada undang-undang yang boleh berbuat demikian tetapi kita ada,” katanya.   Menurut Ayub juga, sehingga kini sudah 6 rakyat Malaysia yang mati di Syria dalam perjuangan yang mereka namakan sebagai jihad itu dan mereka juga mendakwa keenam-enam ini telah syahid.

“Apa yang mendorong mereka adalah mereka mahu syahid cuma tidak ada kepakaran sahaja untuk berbuat demikian (di negara ini).

“Jika mereka ada kepakaran, ia sangat berbahaya kepada kita, tetapi ia tidak boleh dibiarkan kerana mereka boleh belajar perkara ini dari media-media sosial,” katanya.

Rakaman Soal Jawab ini dibuat sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan yang akan diadakan pada 25-26 Januari 2016.

Selain Ayub, turut serta menjadi penal dalam rancangan itu adalah Datuk Sri Alwi Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Persidangan yang julung kali dianjurkan ini menjemput semua menteri ASEAN dan sembilan menteri-menteri negara rakan strategik seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates (UAE), Jepun, China dan Itali yang bertanggungjawab dalam menangani ancaman ekstremis militan negara masing-masing.