Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian Bukit Aman tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran kepada rakyat Malaysia berhubung kes penculikan dan pejualan organ kanak-kanak seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Superintendan Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan A. Skandaguru berkata, hasil semakan mendapati mesej yang tular itu adalah kenyataan pada tahun 2016 yang telah diulang siar.
Dalam kenyataan itu menyebut bahawa sindiket berkenaan menggunakan kereta Proton Wira dan sebuah van putih bagi menjalankan aktiviti penculikan.
“PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan pernjualan organ manusia seperti yang didakwa.
“Tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PDRM juga menafikan pernah mengeluarkan amaran menerusi ‘Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman’ seperti didakwa oleh sindiket yang turut menyenaraikan harga organ manusia seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang serta mata dalam mesej yang ditularkan itu.
Sementara itu, A. Skandaguru menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai berita-berita yang tidak berasas serta tidak sahih selain mengelak berkongsi atau menyebar berita palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam.