Polis memanggil ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini ekoran ceramah #BONGKAR mendedahkan perbelanjaan jet-jet yang digunakan Perdana Menteri dan isteri semalam.
Seorang pegawai polis berpangkat inspektor telah memaklumkan kepada Rafizi bahawa beliau dikehendaki melaporkan diri untuk diambil kenyataan berhubung siasatan kes ugutan jenayah “bom atom”.
“Saya telah bersetuju untuk melaporkan diri ke Ibupejabat Polis Daerah Kuala Kangsar pada jam 2 petang hari ini untuk memberi kenyataan bagi mempercepatkan siasatan.
“Saya akan diiringi oleh peguam Saudara Saiful Izham Ramli semasa memberi kenyataan,” kata Rafizi dalam satu kenyataannya hari ini.
Rafizi berkata, sementara saya menghargai kemungkinan ada tekanan terhadap kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempercepatkan siasatan dalam kes ini kerana pendedahan bersiri yang saya buat sejak 2 minggu lalu, beliau menggesa supaya pasukan polis tidak diheret sama di dalam kempen pilihanraya kecil (PRK) kali ini.
“Siasatan secepat kilat dalam kes paling lucu abad ini berbanding kegagalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memanggil Arulkanda Kandasamy dalam kes 1MDB walaupun saya telah membuat laporan lebih dua bulan lalu terhadap CEO 1MDB itu akan menjadi bukti kukuh kepada pengundi di Kuala Kangsar kenapa mereka perlu mengundi calon Pakatan Harapan hari Sabtu ini,” katanya.
Sebelum ini, Polis Perak membuka kertas siasatan terhadap Rafizi berhubung kenyataannya yang berunsur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Sekyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
“Kami akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangannya dalam tempoh terdekat. Walaupun dia kata bergurau, tetapi ini adalah satu ugutan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Tun Salleh Ismael, Kompleks Perumahan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini hari ini.
Menurut laporan media sosial, Rafizi dalam satu ceramahnya di Kuala Kangsar pada Khamis lepas dipetik berkata “mahu membaling bom atom” kepada perdana menteri.
Empat laporan polis turut dibuat beberapa penduduk Kuala Kangsar berhubung kenyataan Rafizi itu.