Polis serbu rumah Tun Rahah

Oleh MALAYSIADATELINE

Polis menyerbu kediaman ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan serbuan itu dilakukan jam 4 petang oleh 14 anggota, pada waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun tiada barangan sebarang dokumen diambil dari kediaman tersebut.

Polis turut memeriksa di sebalik siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai yang disembunyikan,

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan itu kejam untuk menakutkan wanita itu.

“Ya kejam dan tak jumpa apa-apa pun di rumahnya,” katanya lapor Sinaronline.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM2.28 bilion.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM3.5juta yang akan dibayar secara berperingkat mulai esok sehingga 28 September.

Sebelum ini beliau turut dihadapkan dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, berhubung RM42 juta yang ditemui dalam akaun peribadinya daripada bekas subsidiari 1MDB, SRC International.

Sarawak Report sebelum ini melaporkan Najib membayar RM17 juta kepada Yayasan Rahah Foundation yang diasaskan ibunya dengan wang yang didakwa daripada 1MDB.