Polis siasat dakwaan ada mangsa lain babitkan kiriman mesej tak senonoh CEO Batu

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak polis akan menjalankan siasatan tentang dakwaan membabitkan pempengaruh, CEO Batu yang dikatakan turut menghantar kiriman mesej berbaur lucah terhadap individu lain.

Hal ini berikutan pendedahkan dilakukan oleh penyanyi rap, Caprice menerusi perkongsian gambar tangkap layar pesanan mesej antara CEO Batu dengan individu didakwa mangsa lain di akaun Instagram miliknya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan ketika ini tertumpu kepada kes dilaporkan.

Menurutnya setakat ini, tiada laporan lain yang diterima pihak polis berhubung kiriman mesej melampau didakwa dihantar oleh pempengaruh berusia 22 tahun berkenaan, lapor Harian Metro.

“Suspek sedang ditahan reman sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Setakat ini tiada laporan lain yang diterima,” jelasnya.

Terdahulu, CEO Batu dilaporkan ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan mengenai dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.

Pempengaruh yang popular di platform TikTok itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kelmarin sebelum ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa.

Siasatan awal pihak polis mendapati suspek menghantar beberapa imej yang tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa dipercayai menggunakan aplikasi Whatsapp sejak awal Mei lalu.

Perbuatan didakwa dilakukan CEO Batu mula terbongkar selepas Caprice yang juga bergelar aktivis mendedahkan tangkap layar perbualan mesej antara pempengaruh itu dengan remaja perempuan bawah umur.

Pendedahan dibuat selepas Caprice menerima kiriman tersebut daripada ibu mangsa yang memohon bantuan susulan anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh pempengaruh itu.

Bentuk gangguan yang dibuat adalah perkongsian imej tidak senonoh dari CEO Batu memperlihatkan anggota badannya dari bahagian perut ke bawah konon untuk menunjukkan parut pembedahan appendicitis (apendiks).

Tangkap layar pesanan mesej yang didakwa dihantar CEO Batu kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Baca juga: Caprice dakwa CEO Batu hantar gambar tak senonoh, remaja 14 tahun jadi mangsa?