Poster fitnah: Amanah Perak nafi sokong atlet Israel

Oleh MALAYSIADATELINE

Setiausaha Amanah Perak Salman SallehParti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak menafikan dakwaan bahawa Amanah menyokong kenyataan seorang pimpinan DAP Perak berhubung sekatan terhadap atlet Israel.

Dakwaan berunsur fitnah itu disebarkan melalui poster yang tertera ayat ‘AMANAH BERSAMA DAP PERAK MENYOKONG KEHADIRAN ATLET LUNCUR ISRAEL’ beserta gambar Pengerusi Amanah Negeri Perak, Asmuni Awi dan logo parti.

Setiausaha Amanah Perak, Salman Saleh berkata, pihaknya sangat kecewa dengan fitnah yang disifatkan sebagai mencemar nama baik Amanah dan reputasi Asmuni.

“Kenyataan kononnya kami menyokong keterlibatan Israel adalah satu tindakan yang melampau serta mempunyai agenda memburukkan imej parti yang baru bertapak ini.

“Poster fitnah itu turut dikongsi oleh lama page Facebook rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia hingga mendorong lebih ramai lagi mempercayai fitnah tersebut,” katanya.

Justeru katanya, Amanah Perak sedang berbincang dengan peguam untuk mengenakan tindakan undang-undang sekiranya individu serta pihak yang menyebarkan poster palsu itu tidak memohon maaf serta menarik balik muat naik tersebut.

Beliau turut menegaskan, Amanah Perak menyokong sepenuhnya tindakan Kementerian Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengenakan sekatan terhadap atlet Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi hari ini.

“Kami secara tegas sangat kecewa kenyataan Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

“Amanah Perak menasihatkan agar pimpinan DAP khususnya di negeri Perak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi dalam hal sensitiviti agama,” katanya.

Bagaimanapun semalam dilaporkan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin menyesali kenyataannya mengenai sekatan dua atlet Israel ke negara ini telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu bahawa beliau berpihak kepada Israel.

Menurutnya oleh kerana kenyataan itu telah menimbulkan kekeliruan pendiriannya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan regim Israel, justeru katanya beliau ingin menarik kenyataan yang telah dibuat semalam.