Gara-gara letupan pengecas mudah alih atau ‘power bank’, seorang pempengaruh gajet terpaksa menganggung kerugian besar apabila sebahagian rumahnya musnah dijilat api.
Lebih memburukkan keadaan, kebakaran tersebut turut memusnahkan ruang studio kerja pempengaruh berkenaan yang menempatkan koleksi gajet miliknya dengan anggaran kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
Pempengaruh dikenali sebagai Amad Zahry itu berkata, kejadian kebakaran tersebut berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi di rumah teres dua tingkat miliknya yang terletak di sekitar Cheng, Melaka.
Ketika kejadian, sebuah power bank yang tidak digunakan tiba-tiba sahaja meletup sebelum api yang keluar terus menyambar langsir tingkap lalu memulakan kebakaran di rumahnya.
Dalam masa yang singkat, asap hitam sudah memenuhi keseluruhan ruangan dalam bilik didudukinya hingga menyebabkan Amad dan isteri segera melarikan diri tanpa sempat menyelamatkan harta bendanya.
“Memang tak sempat basahkan kain untuk memadam api. Asap hitam sudah penuh dalam bilik. Hanya sempat selamatkan telefon bimbit untuk menghubungi pihak bomba.
“Pihak bomba cepat sampai. Alhamdulillah, tiada kecederaan,” tulis pempengaruh gajet itu menerusi keterangan video yang dikongsikan di akaun media sosial TikTok miliknya.
Amad bagaimanapun bersyukur apabila kenderaan yang terpaksa ditinggalkan di halaman rumahnya kerana tidak sempat mengambil kunci itu langsung tidak terjejas meskipun kebakaran tersebut agak serius.
Jelasnya, seorang penunggang p-hailing atau ‘rider’ telah mencuba membantu untuk memecahkan tingkap kereta tersebut dengan menggunakan batu-bata namun tidak berjaya.
“Kunci kereta tinggal dekat atas bersama kunci pendua. Ada rider datang nak tolong pecahkan tingkap kereta itu guna batu-bata tetapi tak pecah juga. Nak duduk lama-lama di bawah bumbung, takut atap jatuh.
“Alhamdulillah, kereta tak terbakar.” Kata pempengaruh yang kelihatan reda menghadapi ujian dari Ilahi dalam beberapa perkongsian video di platform tersebut ketika dan selepas kejadian kebakaran itu.
Baca juga: Menantu dedah kronologi kebakaran, berjaya jejaki ‘rider’ yang selamatkan mentua