PPIM persoal polis mahu reman dua aktivisnya

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan tindakan pihak polis menahan dua aktivis pertubuhan itu selepas membela nasib pengguna yang ditipu dan dikurung oleh penjual telefon bimbit di Plaza Kota Raya minggu lalu.

NGO itu melalui kenyataan medianya semalam meminta penjelasan polis alasan mereka terbabit dikenakan tahanan reman serta menganggap kemungkinan pihak berwajib tercabar ekoran tiada tindakan susulan yang sewajarnya.

“Apakah alasan mereka ditahan dan ingin direman? Adakah menjadi satu kesalahan membela pengguna yang ditindas? Adakah mereka tercabar selepas PPIM bertindak membela pengguna kerana tiada susulan pihak berkuasa?

“Mengapa polis bertindak sedemikian ke atas mereka yang membela pengguna sedangkan tiada sebarang kekerasan atau isu perkauman yang ditimbulkan semasa PPIM menuntut kembali hak pengadu?” dipetik daripada kenyataan itu.

Menurut PPIM, polis mengambil tindakan terhadap kedua-dua aktivis tersebut mengikut Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah selepas penjual telefon bimbit yang melakukan penipuan dan mengurung pengguna itu membuat laporan polis beberapa hari lalu.

“Selepas ditahan dan ditempatkan dalam lokap tahanan, polis cuba mendapatkan reman tambahan tetapi permohonan untuk menahan reman ditolak selepas Puan Majistret mendengar hujah dan bantahan peguam yang mewakili kedua-dua aktivis PPIM,” ujar pihak NGO itu lagi.

Terdahulu, PPIM melakukan serbuan di Plaza Kota Raya selepas mendakwa pihak berwajib termasuk KPDNKK lewat mengambil tindakan terhadap kes penipuan yang dilaporkan berlaku sejak tahun lalu.

Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi berkata, pengguna yang ditipu harus mendapat pembelaan daripada pihak berkuasa.

Pergaduhan di Kota Raya berlaku pada 20 Disember lalu selepas sekumpulan lelaki bersama mangsa yang dipercayai ditipu peniaga terbabit datang menuntut kembali wang yang diberikan.

Pembeli tersebut mendakwa dikurung oleh pekedai di kompleks itu selama empat jam dan hanya dilepaskan selepas membayar RM5,000.

Pekedai terbabit dikatakan meminta bayaran sebanyak RM10,000 bagi kesemua telefon bimbit itu walaupun harga asalnya hanya RM800.

Tribunal pengguna kemudiannya berpihak kepada pembeli tersebut dan mengarahkan peniaga yang tidak beretika itu memulangkan wang kepadanya.

Terdahulu, saksi dilaporkan berkata, kekecohan kira-kira lima minit pada pukul 5 petang itu berlaku apabila peniaga terbabit enggan membayar wang yang diminta pembeli selain turut menghilangkan diri.

Tindakan peniaga yang memaki dan menghalau orang ramai yang juga berada di tempat kejadian turut menambahkan rasa tidak puas hati pengguna yang menjadi mangsa penipuan.

Walau bagaimanapun, Mohd Ali Baharom atau dikenali sebagai Ali Tinju yang mengetuai kumpulan individu yang mendakwa ditipu peniaga terbabit ditahan polis.

Sementara itu, penjaga parkir kenderaan, Khairuddin [email protected] Omar, 38, didakwa telah menakutkan secara jenayah apabila mengugut lima jurujual untuk memecahkan premis kedai telefon bimbit di tingkat bawah plaza itu, 20 Disember lalu.

Kaunter aduan KPDNKK sehingga esok

Dalam hal berkaitan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuka kaunter aduan pengguna di Kompleks Kota Raya sehingga esok bagi membantu orang ramai mengadu salah laku peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Tempoh operasi kaunter tersebut, ujar Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, yang turut dibuka di Plaza Low Yatt dan Kompleks Pertama, akan dilanjutkan jika mendapat sambutan orang ramai.

Sementara itu, KPDNKK pada Khamis lalu dilaporkan telah mengenakan tindakan ke atas sebuah premis di Kota Raya mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Salah laku dan manipulasi harga oleh peniaga boleh dimaklumkan melalui hotline KPDNKK 1-800-886-800 atau aplikasi Ez-ADU yang boleh dimuat turun di Google Play Store.