Polis Johor telah meluluskan 53 permit ceramah berkempen bagi membolehkan parti bertanding mengadakan ceramah mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, semua parti serta kumpulan penyokong tidak harus menimbulkan sebarang provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan sepanjang tempoh berkempen.
“Semua parti politik juga diingatkan mematuhi tempoh masa berkempen iaitu tidak melebihi dua jam serta perlu ditamatkan jam 10 malam.
“Semua terbabit juga diingatkan sentiasa mematuhi SOP pencegahan Covid-19 dan peruntukan undang-undang ditetapkan.
“Sekiranya mempunyai sebarang masalah timbul, mana-mana pihak boleh merujuk polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Polis Johor membuka dua kertas siasatan berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh dua hari kempen PRN Johor.
Selain salah guna media sosial bagi menyebarkan maklumat berunsur fitnah, satu lagi kertas siasatan membabitkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
Jelas Ibrahim, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana kesalahan salah guna media sosial untuk menyebar maklumat berunsur fitnah.
“Bagi kertas siasatan kedua pula, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya lagi.