PRN Melaka buktikan PN berpengaruh, kata Hamzah

Oleh ARIF ATAN

Perikatan Nasional (PN) terbukti sebagai parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

“Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti-parti komponennya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Bersatu memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 sekali gus Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Larut itu, Mesyuarat Khas MPT juga telah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, malah ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Selain itu, Hamzah memberitahu Bersatu juga memutuskan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-5 pada 18 dan 19 Disember depan di PICC, Putrajaya yang bakal dihadiri oleh 1,600 perwakilan dari seluruh negara secara fizikal.

“Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November 2021,” tambahnya lagi.