Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Adly Zahari di Melaka.
Beliau berkata, sepanjang 22 bulan PH mentadbir Melaka, Adly telah membuktikan bahawa gabungan itu mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat Melaka.
“Yb Adly telah buktikan PH mampu berikan yang terbaik kepada orang Melaka khususnya rakyat marhaen.
“Rumah percuma adalah antara usaha dari dana kerajaan negeri semasa beliau menjadi Ketua Menteri.
“Kehendak politik dan kejujuran untungkan rakyat,” ciapnya di Twitter pagi ini.
Menerusi pelancaran Jentera Pakatan Harapan DUN Telok Mas baru-baru ini, Adly memaklumkan bahawa PH telah menggerakkan program perumahan rakyat yang diberikan secara percuma kepada penduduk Melaka dan 100 buah rumah sudah pun siap ketika gabungan itu mentadbir.
Adly memberitahu, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, gabungan itu tidak pernah lari dari kesedaran memikul tanggungjawab membantu rakyat.
Malah katanya, salah satu agenda di masa hadapan yang akan direalisasikan PH adalah menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat dengan kadar sewaan lebih rendah sekitar RM150 sehingga RM200 sebulan.