Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya lebih memahami keadaan sebenar dalam situasi politik semasa yang menyaksikan kuasa politik Melayu dan Islam semakin terancam, kata Pas Melaka.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata pendirian bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti ditegaskan Ahmad Zahid tidak menguntungkan Melayu dan Islam.
“Saya tidak tahu sama ada ia kenyataan peribadi atau pendirian parti, tetapi secara keseluruhannya ia tidak menguntungkan Melayu dan Islam.
“Pas meletakkan survival politik dan nasib umat Islam sebagai matlamat perjuangan politik tetapi kenyataan Presiden Umno itu tidak membantu kita memperkukuh penguasaan politik kita di negeri ini,” lapor BH.
Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) apa lagi dengan Bersatu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri yang sedang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah itu juga mengatakan “tidak nampak ada cahaya terang” untuk menterjemah MN dalam PRN Melaka.
Sehubungan itu, Kamarudin menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menentukan kerjasama parti berlogokan bulan purnama itu dengan Umno dalam MN.
Tegasnya, Ahmad Zahid tidak wajar menggunakan kuasa veto dalam menentukan kerjasama Umno-Pas dalam MN, sebaliknya diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk membuat keputusan.
Untuk rekod, malam ini akan berlangsung mesyuarat MT Umno yang antara lain akan membuat ketetapan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Pas dalam PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Pas belum memutuskan sama ada bertanding 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.
Pas negeri jelasnya masih mencongak kerusi bakal ditandingi bagi memastikan parti itu memperoleh sokongan besar pengundi dan akan terus bekerjasama dengan Bersatu menyusun strategi pilihan raya kali ini.
Untuk rekod, Pas di Melaka kecundang sama sekali apabila gagal memenangi sebarang kerusi di peringkat DUN dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) di Melaka memenangi 15 kerusi DUN manakala BN mendapat 13 kerusi. Di peringkat Parlimen pula, PH menang empat kerusi manakala BN hanya memperoleh dua kerusi Parlimen.