PRN Melaka: SPR akui sukar kawal kemasukan orang ramai

Oleh ARIF ATAN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menghalang jentera parti dari luar Melaka untuk datang berkempen di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hal ini memandangkan Melaka sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala pintu sempadan negeri pula sudah mula dibuka untuk dikunjungi pelancong luar.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-15 di Banda Hilir hari ini.

“Sekarang ini sempadan negeri sudah dibuka, jadi kalau kita lihat secara umum, kita nak mengawal (kemasukan pengunjung) agak sukar sebab Melaka adalah negeri pelancongan.

“Sudah pasti mereka (jentera parti) datang ke negeri ini bukan saja untuk berkempen, tetapi juga untuk berehat (bercuti).

“Ini satu keadaan yang sukar untuk kita nak kawal dari segi kempen dan menghalang mereka datang ke Melaka (dalam tempoh kempen PRN),” kata Abdul Ghani.

SPR menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

PRN Melaka dianggarkan menelan belanja sebanyak RM46 juta dengan menyaksikan seramai 495,196 pemilih bakal membuang undi.