PRN Sarawak : Amanah letak calon di DUN Beting Maro

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemuda Amanah Nasional membayangkan Parti Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan Timbalan Setiausaha Agung Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Sarawak Ke-11.

Naib Ketua Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, Amanah berkemungkinan besar meletakkan Abang Ahmad di Beting Maro memandangkan beliau anak tempatan dan pernah bertanding di Dun tersebut pada PRN 2011.

“Kemungkinan besar Abang Ahmad Kerdee akan bertanding di Beting Maro,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah, Jalan Kuching, baru-baru ini.

Pada PRN 2011, Abang Ahmad Kerdee yang bertanding atas tiket PAS meraih 2,678 undi, tewas kepada BN yang mendapat 3,069 undi.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa PAS tidak berpengaruh di Sarawak, Fakrulrazi berkata tidak dinafikan PAS dilihat sebagai parti yang baharu di Sarawak.

Bekas bendahari Pemuda PAS Malaysia itu berkata, PAS mempunyai kekuatan di Sarawak namun di kawasan tertentu sahaja.

“Saya boleh bercakap berdasarkan pengalaman sendiri sebelum ini dalam kepimpinan pemuda PAS. Memang kita tak nafikan PAS dilihat sebagai parti yang agak baru di Sarawak.

“Kita beranggapan kalau nak letak calon kena orang tempatan. Kami daripada parti Amanah akan meletakkan calon tempatan untuk bertanding di PRN.

“Tentang kekuatan PAS, boleh dikatakan PAS ada kekuatan tetapi di kawasan tertentu. Sebelum ini pun di kawasan tertentu mereka bertanding tidak mencapai kemenangan. Yang paling hampir mencapai kemenangan pun di Beting Maro yang ditandingi oleh Abang Ahmad Kerdee,” katanya.

Tidak gentar tiga penjuru

Meskipun mengharapkan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru namun Pemuda Amanah tidak gentar jika berhadapan dengan situasi itu.

Fakhrulrazi berkata, Amanah tidak bergerak secara sendirian di Sarawak namun bergerak atas nama Pakatan Harapan.

“Kita harap tidak berlaku tiga penjuru tetapi kalau berlaku kita tidak anggap ia satu ancaman besar sebab kita yakin rakyat sudah ada pilihan mereka.

“Kalau di Sarawak kita bukan bergerak atas nama Amanah tapi atas nama Pakatan Harapan itu sendiri.

“Realitinya kita kena bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa jua keadaan sekalipun yang penting kita nak tumbangkan BN,” katanya.

Justeru beliau berharap PAS akan bersama Pakatan Harapan di Sarawak untuk menumbangkan BN dalam PRN nanti.

“Kita masih lagi terbuka dan mengharapkan PAS akan bersama Pakatan Harapan kalau benar-benar mereka mahu melihat runtuhnya kerajaan BN. Mereka tak ada pilihan kena bekerjasama ataupun berada di pasukan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Pemuda Amanah telah bersedia dengan senarai calon untuk dibawa ke peringkat pusat.

“Pemuda pun ada calon yang kita akan hantar namanya ke peringkat pusat. Ia bergantung kepada bilangan kerusi yang akan ditandingi,” katanya.

PAS Sarawak akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN dalam pilihan termasuk yang mengikut tradisinya ditandingi DAP.

11 kerusi tersebut ialah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa dan Dudong.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dilaporkan berkata, menjadi prerogatif PAS Sarawak untuk bertanding di kerusi DAP kerana ia bukan sebahagian daripada gabungan baharu parti pembangkang, Pakatan Harapan.

Walaupun putus hubungan dengan DAP, PAS mengekalkan kerjasama dengan PKR.

PAS Sarawak berkata, ia sedia untuk berunding dengan PKR selari dengan keputusan jawatankuasa pusat parti itu mengekalkan kerjasama politik dengan PKR.