PRN Sarawak: GPS akan tunggu keputusan KKM, SPR

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan merujuk kepada keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagaimanapun menekankan keutamaan pada masa ini adalah kesihatan rakyat di negeri ini daripada wabak pandemik Covid-19.

“Justeru terpulang kepada agensi strategik seperti KKM dan SPR bagi membuat keputusan. Dan kita tunggu apa yang akan berlaku dalam satu minggu dan dua minggu ini.

“Namun, yang perlu dipertimbangkan adalah situasi Covid-19 semasa sama ada keadaan Covid-19 sudah bertambah baik berdasarkan fakta dan angka,” jelas beliau.

Abang Johari berkata demikian ketika mengulas mengenai kerajaan Persekutuan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.

“Perintah Darurat masih lagi berkuatkuasa sehingga ia berakhir 1 Ogos ini.Kita lihat apa yang akan berlaku, bagaimanapun terdapat tiga perkara yang perlu dipertimbangkan iaitu pertamanya ialah situasi kes Covid-19.

“Keduanya, sama ada SPR telah selesai menyiapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengadakan pilihan raya, yang mana ia harus diputuskan oleh SPR.

“Perkara ketiga ialah kesihatan, kesihatan lebih penting dan kita tidak mahu menjadi punca kepada apa yang berlaku di Sabah,” jelasnya

Tambahnya lagi, Kerajaan GPS memerlukan mandat baharu untuk membolehkan Sarawak bergerak ke hadapan.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dibawah Darurat dan kita tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku nanti. Namun, kita harus memastikan bahawa keadaan dalam kondusif (untuk mengadakan pilihan raya), ” ujar Abang Johari