PRN Sarawak: Pas letak calon anak Sarawak di 11 kerusi dipertandingkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pas sudah memuktamadkan senarai nama-nama calon yang akan bertanding di 11 kerusi dalam Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dikalangan anak tempatan.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Syura Ulamak akan memutuskan nama-nama yang layak bertanding sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.

“Pas akan umumkan mereka yang bertanding pada bila-bila masa sahaja.  Saya sudah dimaklumkan nama calon yang akan bertanding, tetapi tidak boleh bagi tahulah. Negeri sudah hantar nama kepada Majlis Syura yang akan mesyuarat Februari ini untuk diluluskan dari segi kelayakan calon tersebut,” katanya dipetik Harakahdaily.

Mustafa menjelaskan, calon-calon yang disenaraikan adalah seratus peratus anak Sarawak.

“Calon-calon yang dipilih ini sudah bergerak (bekerja) sekian lama malah mereka tahu mereka antara nama yang dipilih,” ujarnya.

Dari segi jentera pilihan raya, menurut Mustafa, ianya sudah digerakkan di semua peringkat sama ada kawasan mahupun di negeri.

“Pilihan raya Sarawak kaedah bekerja seperti kita bekerja dalam pilihan raya kecil semua negeri akan turun bantu dan terlibat termasuklah di peringkat Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat,” katanya.

Terdahulu, Pas bersedia meletakkan calon di 11 kerusi pada PRN kali ini iaitu sembilan daripada kerusi itu di kawasan lama Dun Sarawak, manakala baki dua lagi kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dun di negeri ini.

Dalam pengumuman sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mencadangkan supaya penamaan calon bagi pilihan raya negeri diadakan pada 18 April dan pengundian pada 20 April.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian sebaik sahaja Dun dibubarkan.